KANGAR: Tindakan seorang peniaga meletakkan papan tanda ‘Harumanis Burma’ yang mengelirukan nyata mengundang padah selepas diberikan notis amaran oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Malaysia (FAMA).

Pengarah Bahagian Regulatori (Penguatkuasaan) FAMA Malaysia, Sabri Naseh berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap produk Harumanis yang eksklusif di Perlis.

“Peniaga seharusnya jujur dalam berniaga dan sekiranya mereka menjual buah mangga ‘tong dam’ atau mempelam siam, letakkan sahaja papan tanda yang betul.

“Bukannya mengelirukan pembeli dengan meletakkan papan tanda ‘Harumanis Burma’, “Harum Manis Perlis’, ‘Arumanis’ dan sebagainya sehingga pembeli terpedaya,” katanya pada media selepas pemeriksaan di sebuah gerai dalam operasi Penipuan Harumanis di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun di sini.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis dan Jabatan Pertanian Perlis.

Sabri berkata, pihaknya kesal dengan tindakan peniaga terbabit kerana ia mencalarkan imej negeri Perlis sebagai pengeluar Harumanis.

“Harga pasaran sekilogram Harumanis adalah antara RM35 hingga RM45 mengikut gred dan kualitinya.

“Namun harga yang kita periksa tadi mendapati lebih murah dan selepas diteliti ia buah ‘Tong dam’ atau buah mempelam siam yang seakan buah Harumanis.

“Ini mengelirukan pembeli dan sekiranya nasib pembeli tidak baik buah itu belum masak selain rasanya masam ini secara tidak langsung menganiaya pembeli,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan notis amaran kepada peniaga berkenaan dan pemantauan berkala akan dilakukan terhadap premis peniaga terbabit.

“Kita tidak merampas kesemua buah terbabit, sekiranya dia tidak menurunkan papan tanda yang mengelirukan pembeli pada pemeriksaan akan datang kita akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Notis amaran dikeluarkan mengikut Seksyen 3 (2)(c) Akta 141 FAMA 1965 peraturan aktiviti penggredan, pembungkusan dan pelabelan keluaran pertanian,” katanya.

Dalam operasi sekitar dua jam itu, sebanyak lima premis perniagaan buah mangga diperiksa dan satu notis amaran dikeluarkan.

Operasi itu memberi tumpuan kepada penjualan Harumanis di sekitar negeri memandangkan musim buah berkenaan bakal tiba pada April hingga Mei ini – berita harian