“MANA punya kampung kita sudah sampai? Apa yang ditulis di papan tu?” soal Ramlee.

“Dia tulis Jalan Sekapur Sirih”,’’ kata Sudin (Sebenarnya apa yang tertera di situ adalah Kampung Pinang Sebatang).

“Alamak kita mahu cari Kampung Pinang sudah jumpa Sirih, salah kampung daa,” kata Ramlee semula.

“Ini kali kita jumpa sireh, mungkin nanti kita jumpa pinang barangkali,” balas Aziz pula.

Masih jelas di ingatan tentang babak dan dialog yang diungkapkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, S. Samsudin dan Datuk Aziz Satar di dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ di mana situasinya berlatarbelakangkan pencarian sebuah kampung yang dinamakan sebagai ‘Kampung Pinang Sebatang’.

 

Pelbagai aksi yang melucukan dan mesej tersirat terkandung di dalam filem yang mengisahkan tentang suka duka tiga sekawan bujang lapok ini.

Hakikatnya, ketiga-tiga mereka tidak tahu membaca atau dalam erti kata lain, buta huruf.

Perihal atau kisah di dalam filem ini sebenarnya tiada kena mengena langsung dengan nama kampung yang bakal diceritakan, namun persamaan namanya seringkali menjadi bualan orang ramai terutama yang pertama kali berkunjung ke Kampung Pinang, sebuah kampung yang terletak di dalam daerah Kamunting.

Apa yang hendak diberi penekanan bukanlah semata-mata nama kampung tersebut tetapi kewujudan perkampungan Melayu yang masih kekal hingga kini. Malah, lebih membanggakan, penempatan yang dimaksudkan kini kian pesat membangun.

Diceritakan bahawa pokok pinang yang tumbuh melata di kawasan ini menjadi pencetus kepada nama sebuah kampung yang mula dibuka sejak tahun 1947 ini dan melekat hingga sekarang iaitu Kampung Pinang.

Terbahagi kepada lima kampung yang berlainan iaitu Kampung Pinang Baru, Kampung Pinang Utara, Kampung Pinang Seberang, Taman Kamunting Permai, Taman Palma A dan B, penduduknya kini mencecah 17,345 orang dan majoritinya adalah orang Melayu diikuti Cina, India dan lain-lain.

 

Suatu masa dahulu, kawasan kampung ini menjadi lokasi utama bagi aktiviti perlombongan bijih timah. Oleh kerana terdapat banyak sumber itu, berlakulah perpindahan beramai-ramai untuk mengusahakan industri perlombongan.

Terdapat juga masyarakat Siam yang `berkampung’ di beberapa kawasan di perkampungan ini, antaranya di Jalan Watt Siam di mana mereka menjalankan perniagaan sebagai sumber pendapatan utama dan tidak terkecuali yang bekerja makan gaji di kilang-kilang berdekatan.

Seorang penduduk, Shufaidah Tajudin ,55, yang sudah lama bermastautin di perkampungan ini memberitahu, dahulunya terdapat banyak rumah yang disediakan khusus untuk disewakan kepada pekerja kilang Folex yang terletak di kawasan perindustrian berhampiran kampung tersebut.

“Di Jalan Watt Siam, pada tahun 60-an sudah ada sebuah Watt Buddha untuk masyarakat Cina dan tidak terkecuali masyarakat Siam yang tinggal di situ, tapi lebih kurang tahun 90-an ia sudah tidak digunakan dan runtuh.

“Ramai juga masyarakat Siam yang ada di sini dahulu dan sesetengah dari mereka telah berkahwin campur dengan orang tempatan, tapi ramai antara mereka kemudian berhijrah ke tempat lain, yang tinggal cuma seorang dua sahaja itupun sekarang sudah meninggal dunia,” kata Shufaidah.

Selain itu, kebanyakan komuniti di situ pada suatu ketika dahulu, menyewa rumah yang berpenghadang dan disewa kepada beberapa buah keluarga yang kadang-kala boleh mencecah hingga tiga atau empat buah keluarga.

Ditanya mengenai persamaan nama kampung ini dengan kisah di dalam filem P.Ramlee, dia menjawab, ramai yang salah sangka dan memang ada yang mengaitkannya dengan lokasi penggambaran filem tersebut.

“Bila saya kata saya tinggal di Kampung Pinang kepada orang luar,ramai yang fikir tempat ini macam kampung yang dalam filem P.Ramlee.

“Rasa lucu pun ada sebab sebenarnya tiada kaitan langsung dengan cerita Pendekar Bujang Lapok, mungkin namanya sahaja kebetulan sama,” katanya sambil tersenyum.

Tambahnya, pokok pinang yang sinonim dengan kampung ini sudah tidak kelihatan kerana hampir kesemuanya sudah habis ditebang bagi tujuan pembangunan serta pembinaan rumah.

“Dulunya memanglah banyak pokok pinang tapi sekarang yang tinggal cuma sebatang dua,” kata Shufaidah.

 

Menceritakan pengalaman masa mudanya, Shufaidah memberitahu, sewaktu zaman persekolahan dahulu masih ada unsur-unsur British diguna pakai oleh penduduk setempat, sebagai contoh `telefon kotak’ (pondok telefon yang tertutup dan mempunyai pintu) yang cukup terkenal dan berasal dari negara itu.

“Seingat saya dalam tahun 1973 semasa di tingkatan dua, saya dan kawan-kawan yang lain selalu beratur kalau nak guna telefon, bentuk telefon dulu bukan macam sekarang sebab ciri rekaan macam zaman British dulu, semuanya bertutup dan kena tunggu giliran di luar seorang demi seorang.

“Bentuk telefon itu lebih kurang dalam salah satu sedutan lakonan filem Nasib Do Re Mi,” ujarnya lagi.

Kini terdapat kira-kira 2,500 rumah di kampung ini dan boleh dikatakan  penduduknya menjalankan kegiatan perniagaan secara kecil-kecilan dan terdapat juga di antara mereka yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta.

Pembangunan yang kian pesat di kawasan Kamunting telah banyak mempengaruhi kemajuan kawasan kampung tersebut dan antara yang menerima kesan positif itu termasuklah Kampung Pinang.

Jika dahulu orang ramai khususnya pengunjung hanya menjadikan bandar Taiping sebagai destinasi utama dalam senarai tempat wajib dikunjungi sekiranya bertandang ke Perak, namun kini semuanya sudah berubah apabila Kamunting juga mula menjadi sebuah kawasan yang menarik.

Kemudahan disediakan di sini boleh dikatakan serba-serbi lengkap dengan dewan komuniti, perpustakaan desa, bengkel kereta, klinik, bangunan kerajaan dan pelbagai jenis restoran bagi kemudahan penduduk dan pengunjung.

Tidak dilupakan juga kemudahan teknologi terkini iaitu ‘WiFi’ percuma kepada mereka yang berhampiran dengan pusat sumber kampung yang membolehkan para pelajar dan masyarakat mengambil peluang menggunakan internet secara percuma.

Kemudahan homestay turut disediakan untuk para tetamu atau pengunjung luar datang bertandang ke sini dengan harga yang ditawarkan adalah cukup berpatutan, sesuai bagi mereka yang merancang percutian ke daerah ini.