Subscribe Now

Trending News

KUALA LUMPUR: Keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tidak meneruskan pendakwaan (nolle prosequi) dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon yang didakwa bersubahat dalam pembelian lot tanah dan banglo, bukan dibuat Peguam Negara Tommy Thomas.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berkata, beliau sebaliknya diberi tanggungjawab untuk membuat keputusan terhadap representasi dikemukakan kedua-dua tertuduh pada 6 Julai lalu melalui pendekatan ‘fresh eye’ oleh jabatan itu.

Mohamad Hanafiah berkata, ia berikutan beliau tidak pernah terbabit dengan kes berkenaan yang dipercayai akan dapat memberikan pertimbangan daripada perspektif baharu.

Katanya, selepas diberi tugasan itu, beliau kemudian meneliti keterangan berdasarkan penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan saksi pendakwaan di mahkamah yang turut disoal balas selepas itu.

“Saya membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan, keterangan yang menyokong tuduhan pertama mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan tuduhan kedua mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dilemahkan secafa substantif.

“Kesimpulan ini dicapai berdasarkan keterangan baharu yang timbul ketika pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan.

“Selepas membuat kesimpulan itu, saya berpandangan bahawa saya mungkin tidak memenuhi tanggungjawab saya sebagai timbalan pendakwa raya untuk membiarkan kes diteruskan selepas mengetahui kes itu tidak akan berjaya di akhir kes pendakwaan.

“Maka dengan itu saya membuat keputusan supaya pihak pendakwaan ‘nolle prosequi’ tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah (KAJ),” katanya.

Mohamad Hanafiah berkata, beliau memaklumkan keputusan itu kepada Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan SPRM Datuk Masri Mohd Daud yang juga timbalan pendakwa raya dalam kes rasuah itu ketika beliau (Mohd Masri) berada di Pulau Pinang pada 7.18 pagi semalam.

Beliau berkata, walaupun pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk satu perintah pelepasan tanpa pembebasan, mahkamah bagaimanapun memutuskan supaya kedua-dua tertuduh diberi kebebasan penuh.

Timbalan pendakwa raya itu menjelaskan, keputusan mahkamah itu dibuat berdasarkan permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 254(3) KAJ.

Mohamad Hanafiah turut menegaskan, amalan untuk nolle prosequi bukan sesuatu amalan yang luar biasa dan ia diamalkan dalam kes lain apabila menerima representasi daripada peguam dan selepas menemui keterangan baharu atau apabila keterangan menjadi lemah selepas diperiksa balas oleh pembelaan.

Katanya terdapat bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini dalam kes rasuah Guan Eng dan Li Koon.

“Adalah perlu ditegaskan bahawa keputusan untuk memulakan atau menamatkan pendakwaan adalah satu kuasa dan budi bicara Pendakwa Raya… Dalam kes ini saya merahsiakan keputusan saya hingga ke saat akhir dan tidak merujuk kepada agensi penyiasatan kerana bimbang ia akan dibocorkan dan menyebabkan gangguan tidak diingini.

“Bahkan keputusan saya ini adalah terlalu sulit dan saya sendiri hanya memaklumkan kepada Peguam Negara pada jam 9.44 pagi semalam.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya membuat keputusan tanpa pengaruh luar… Malah ada firma guaman yang mewakili pengadu menghantar surat membantah cadangan untuk menggugurkan tuduhan itu,” katanya.

Mohamad Hanafiah berkata, beliau bagaimanapun menjawab surat itu dengan menyatakan bahawa beliau membuat keputusan berdasarkan bukti sedia ada berlandaskan undang-undang tanpa sebarang pilih kasih.

Pada prosiding semalam di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepas dan membebaskan Guan Eng dan Li Koon selepas bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa tuduhan itu tidak boleh dibiarkan tergantung begitu sahaja ke atas kedua-dua tertuduh selama-lamanya.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Perbicaraan kes itu bermula pada 26 Mac lalu dengan 25 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan.