KUALA KANGSAR– “Itu bukan memulihkan, tetapi lebih kepada mendera,” itu keluhan bapa kepada anggota tentera yang melecur teruk di kaki selepas dipercayai direndam dalam air panas secara paksa di kem Batu Gajah, kononnya untuk merawat cagu.

Bapa mangsa, Syed Mohd Nadzri Abd Jakil, 44, yang kesal dengan kejadian menimpa anaknya itu, turut menuntut agar pembelaan sewajarnya diberikan mamandangkan hampir sebulan anaknya terlantar di hospital dan masih trauma.

“Kaki anak saya melecur dalam 20 peratus dan tidak dapat berjalan, setelah mendapat berita tentang kejadian yang menimpa anak saya, seingat saya biasa sahaja, tetapi ini bukan cagu..ini namanya dera pada saya.

“Saya minta dia mendapat keadilan sewajarnya dan minta ia dibicarakan, saya ada buat laporan polis di kem Batu Gajah, kalau keadaan sudah jadi begini saya nak keluarkan dia dari ATM.

“Kalau nak diikutkan anak saya memang tak mahu cakap pasal kejadian ini, tapi saya paksa dia cakap, dia rahsiakan perkara ini hampir sebulan dari pengetahuan saya, saya minta pihak Kementerian tolong ambil tindakan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kuala Kangsar pada Ahad.

Menurut Syed Mohd Nadzri, anaknya yang berusia 20 tahun itu baru berkhidmat selama tujuh bulan sebagai anggota tentera dan kini masih belum mampu berjalan dengan sempurna akibat tapak kulit yang nipis.

Akibat kejadian itu, mangsa terpaksa menjalani pembedahan kulit dan daging di kedua belah kakinya.

Sebelum ini media melaporkan kedua-dua kaki mangsa direndam secara paksa ke dalam air panas bercampur garam dalam sebuah baldi oleh seorang sarjan yang juga jurulatih mangsa serta dibantu seorang anggota tentera lain.

Hasil siasatan mendapati perkara itu dilakukan bagi bagi merawat masalah kaki mangsa yang luka dan cagu.