LUMUT, 29 Nov (Bernama) — Pemandu bot yang terbalik berhampiran Pangkor Village di Pulau Batu Orang Tua dekat sini, semalam, tidak perlu rasa bersalah terhadap insiden tersebut.

Nor Hayati Mohd Amin, 43, ibu kepada Nurul Dhaniyah Natrul Edwanzy, pelajar sekolah rendah yang kritikal dalam kejadian tersebut, berkata beliau dan suami redha dengan insiden tersebut dan kini menumpukan tentang perkembangan anak mereka.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa malah pemandu bot asyik mengatakan dia berasa serba salah kepada kami, tetapi itu sebenarnya tidak perlu kerana kita semua tidak mahu perkara ini terjadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Seri Manjung, di sini hari ini.

Nurul Dhaniyah, 12, adalah antara 15 penumpang bot yang terbalik semasa dalam perjalanan pulang dari Teluk Nipah ke pantai Pasir Bogak kira-kira 5.45 petang semalam dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) , Hospital Seri Manjung di sini.

Nor Hayati berkata dia dan suami, Natrul Edwanzy Pungot, 41, yang berasal dari Kluang, Johor terharu serta berpuas hati dengan tindakan syarikat bot tersebut, pihak penganjur dan guru pengiring yang membantu menyelamatkan anaknya serta pelajar lain semasa kejadian berlaku.

“Saya sangat-sangat berterima kasih terutama kepada pemandu bot itu yang mana dia mempunyai penyakit asma tetapi tetap mahu menyelamatkan anak saya biarpun dia sendiri tercedera di bahagian dada.

“Saya tidak akan pernah serik menghantar anak-anak saya ke seminar atau kem motivasi kerana di mana-mana kejadian boleh berlaku dan kita perlu belajar menjadi positif,” katanya.

Nor Hayati berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian tersebut selepas suaminya menerima panggilan daripada pihak penganjur seminar motivasi itu kira-kira pukul 8.30 malam.

“Suami saya kemudiannya memberitahu yang bot dinaiki anak saya terbalik dan dia dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut. Ibu mana yang tidak risau tetapi kami banyak-banyak berdoa sebelum bertolak ke Seri Manjung pukul 2 pagi tadi.

“Sebaik sampai pukul 8 pagi tadi, anak saya ada berbisik dengan saya yang dia mahu minum dan makan. Alhamdulillah, dia stabil,” katanya.

Nor Hayati berkata beliau menghantar anak bongsu daripada tiga beradik itu bersama kakaknya, Nurul Dafinah, 14, ke seminar motivasi tersebut selepas mendengar iklan melalui sebuah stesen radio.

“Mereka berdua menaiki bot yang sama pada waktu itu, cuma nasib tidak menyebelahi Nurul Dhaniyah dia terperangkap di bawah bot sedikit lama berbanding yang lain, tetapi Alhamdulillah dia selamat,”katanya.

Sementara itu, penyelia syarikat bot Sfwatersport, Musa Jaafar berkata pihaknya telah memastikan kesemua faktor keselamatan seperti keadaan cuaca dan ombak pantai selamat sebelum melakukan aktiviti.

Musa berkata, bagaimanapun, keadaan bertukar genting selepas bot dinaiki 15 orang termasuk pelajar dan guru pengiring itu tiba-tiba dilambung ombak dan kesemua pelajar panik sehingga menyebabkan bot tersebut tidak seimbang lalu terbalik.

Beliau berkata pihaknya menafikan dakwaan netizen yang menyalahkan pemilik bot kerana tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa menjalankan aktiviti tersebut.

“Kami telah berada dalam industri ini selama 24 tahun dan ini adalah pertama kali perkara ini berlaku. Kami sentiasa mengambil berat tentang langkah-langkah keselamatan termasuk mengambil pekerja-pekerja yang mahir di dalam air.

“Semasa kejadian, kesemua penumpang memakai jaket keselamatan dan cuaca juga dalam keadaan baik, cuma semasa hampir sampai ke Pasir Bogak, ombak tiba-tiba tinggi dan keadaan bot tidak stabil menyebabkan bot mudah terbalik,” katanya.

— BERNAMA