PONTIAN : Presiden MCA Wee Ka Siong mempertahankan partinya dan berkata tidak semua orang Cina rasis dan berbeza dengan “parti sebelah sana”.

Beliau berkata MCA tidak pernah mempersendakan Melayu, Islam dan institusi beraja negara ini.

“Semua agama mengajar kita baik. Tak macam parti sana pernah minta Melayu ‘screw’ Melayu.

“Ada sebahagian kecil beranggapan persepsi mereka atau ideologi berlainan tetapi percayalah bumi Malaysia ini ada anak Cina berjiwa Malaysia,” katanya ketika berucap di ceramah perdana Barisan Nasional di Kampung Rimba Terjun, malam tadi.

Turut hadir dalam ceramah itu ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa; Ahli Parlimen Sembrong, Hishamuddin Hussein; Timbalan Presiden MIC, M Saravanan; Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad; Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed; Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dan calon BN, Wee Jeck Seng.

Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam membidas tindakan seorang pemimpin kerajaan yang mengaitkan Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS dengan taliban.

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan pernah dibuat Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming pada Mac lalu.

“Ini mulut celupar tak baik. Agama mana pun kita kena hormati satu sama lain,” katanya.

Wee juga beri jaminan akan berkhidmat tanpa mengira warna kulit.

“Beriya-iya sangat nak jadi kerajaan. Kita nak pastikan negara kita harmoni bersatu padu.

“Bagi peluang MCA dan BN untuk tambah seorang ahli Parlimen khususnya di Tanjung Piai. Sudah tiba bangkit,” katanya.

Dalam PRU14, MCA kalah teruk dan hanya Wee satu-satu calon parti itu yang menang berbanding 39 kerusi yang ditandingi partinya.