PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengkaji secara terperinci data mengenai pencen sebelum memulakan sebarang langkah menggantikan skim pencen kepada skim kontrak sebagai cara mengatasi beban bayaran persaraan yang begitu besar untuk 1.7 juta penjawat awam, kata ahli akademik.

“Kita benar-benar perlu membuat kira-kira dan melihat berapa banyak pencen yang dibayar dan kepada siapa,” kata Abu Sofian Yaacob, pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Putra Malaysia.

Langkah yang diumumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Borhan Dolah tidak dipersetujui kedua-dua belah parti politik.

Kerajaan kini membelanjakan kira-kira RM28 bilion setahun untuk pencen dan angka itu dijangka meningkat.

Abu Sofian berkata terdapat perbezaan dalam cara pembayaran pencen pada masa ini, di mana menteri dan wakil rakyat yang berkhidmat untuk tempoh yang lebih singkat berbanding penjawat awam menikmati pencen.

“Ada yang mendapat lebih daripada satu pencen, pencen menteri dan satu lagi pencen wakil rakyat.”

Abu Sofian berkata pencen amat penting bagi mereka yang bersara sebagai penjawat awam berpangkat rendah.

Beliau mencadangkan apabila penjawat awam mencapai tahap tertinggi, dia boleh diberi kontrak berdasarkan prestasi dengan gaji pokok yang lebih tinggi.

“Jadi apabila anda mencapai tahap tertentu, anda diberi kontrak selama 2 tahun, dan jika prestasi anda tidak bagus, kontrak anda boleh ditamatkan.”

Beliau berkata kerajaan juga boleh mempertimbangkan memberi cuti “golden handshake” kepada penjawat awam kanan yang bersara daripada membayar mereka setiap bulan.

Namun pakar ekonomi Ramon Navaratnam menyokong cadangan kerajaan. Beliau berkata konsep pencen adalah berdasarkan jawatan tetap dalam pekerjaan, satu konsep British untuk memastikan kebebasan kakitangan.

Beliau berkata ini membawa kepada situasi di mana penjawat awam tidak dapat diberhentikan dengan mudah berdasarkan prestasi mereka.

“Ini membawa kepada penjawat awam hanya muncul untuk bekerja, melakukan kerja secukupnya sahaja dan mengelak daripada berdepan masalah undang-undang, kerana ini satu-satunya cara untuk dipecat.”

Ramon yang juga bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan, berkata ini adalah antara sebab rasuah berlaku di agensi kerajaan, di mana urusan berlaku dan memastikan perkara dilakukan dengan bayaran.

Ramon berkata skim kontrak adalah berita buruk bagi penjawat awam yang prestasinya kurang bagus.

“Dunia menjadi begitu kompetitif dan ekonomi tidak seperti sebelum ini. Kakitangan, sama ada di sektor awam atau swasta, tidak boleh melakukan kerja secukupnya sahaja dan mesti produktif,” katanya.