KUALA LUMPUR : Pengelola Jemaah Haji (PJH), MKM Ticketing Travels & Tours (MKM) menafikan dakwaan syarikat berkenaan menipu beberapa orang jemaah Haji Furada atau haji orang kenamaan (VIP) pada musim haji tahun lalu.

Pengurus Haji MKM, Humaidi Mat Jahaya berkata, syarikat itu tidak melakukan sebarang penipuan, malah memenuhi segala yang dijanjikan kepada semua jemaah yang mengambil pakej berharga RM70,000 dan RM90,000.

Katanya, apa yang berlaku adalah berpunca daripada salah faham mengenai perkhidmatan yang ditawarkan yang mana kesemua khidmat berkenaan sudah diperjelaskan, disahkan tiada unsur penipuan oleh pihak berwajib.

“Kami juga sudah bertemu dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk memberikan penjelasan serta mengemukakan bukti bagi membersihkan nama syarikat,” katanya pada sidang akhbar PPIM di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan. MKM adalah syarikat pelancongan tempatan yang dilantik khas oleh Tabung Haji (TH).

Semalam, dua orang jemaah haji yang mengikuti pakej ditawarkan syarikat berkenaan mendakwa membayar antara RM60,000 hingga RM90,000 seorang dengan dijanjikan keistimewaan antaranya penginapan di hotel lima bintang.

Mereka juga dijanjikan mendapat akses dekat dengan tempat beribadah di Tanah Suci, penginapan VIP yang selesa sepanjang berada di Mina dan Arafah, serta perkhidmatan bas VIP sepanjang tempoh mengerjakan haji.

Malangnya, pengadu mendakwa syarikat itu menabur janji kosong untuk menjalankan amanah menguruskan pakej haji berkenaan, apabila jemaah terbabit tidak mendapat layanan sepatutnya ketika tiba di Makkah.

Mangsa, Sheikh Muhammad Shakir, 30 berkata pakej itu tidak seperti dijanjikan kerana mendatangkan ketidakselesaan kepada jemaah, antara lain penginapan diberikan adalah Maktab 72 iaitu Maktab Muasasah yang bukan penginapan VIP, malah maktab itu amat jauh dari Jamarat, iaitu perjalanan sejauh 10.5 kilometer dari Aziziyah.

Humaidi berkata dalam pertemuan berkenaan, wakil MKM menjelaskan dan memberikan bukti untuk menyangkal dakwaan yang dibuat dan PPIM juga bersetuju bahawa apa yang berlaku berpunca daripada salah faham.

“Dakwaan seramai 94 jemaah kerugian sehingga RM5 juta tahun lalu seperti dilaporkan adalah tidak berasas dan saya tidak tahu bagaimana angka itu diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata beliau mencadangkan untuk diadakan satu pertemuan empat mata antara MKM dan pengadu yang mana PPIM akan bertindak sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan isu yang berkaitan.

“PPIM akan menjadi pemudah cara. Satu pertemuan akan diadakan pada satu tarikh di minggu hadapan.

Pertikaian berkenaan sebenarnya berpunca daripada penggambaran dan penerimaan persepsi yang berbeza di kedua belah pihak.

“Justeru, saya menyarankan semua pihak bertenang sehingga pertemuan antara kedua belah pihak yang terbabit.

“Saya juga berharap tidak ada pihak yang membuat dakwaan bahawa syarikat PJH melakukan sebarang penipuan dan memberi ruang kepada kedua-dua pihak menyelesaikan perkara ini secara baik,” katanya.

Beliau berharap buat masa ini tidak timbul persepsi dan dakwaan bahawa syarikat melakukan sebarang penipuan dan akan mengadakan suatu sidang akhbar minggu depan berhubung isu berkenaan – berita harian