BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kain rentang kempen BN di Parlimen Bagan Datuk menggunakan bahasa Bangladesh dan Vietnam.

Ahmad Zahid yang juga calon BN Parlimen Bagan Datuk berkata, sebaliknya tulisan di kain rentang yang digantung di beberapa perkampungan masyarakat India di sini menggunakan tulisan Telegu.

“Jangan ingat saya bawa pengundi dari Bangladesh, dari Nepal atau dari Pakistan kerana dalam banner dalam poster memang ada tulisan lain sikit daripada tulisan Tamil.

“Itu bukan tulisan Bangladesh, Benggali, Nepal, itu tulisan Telegu kerana saya beri penghormatan kepada masyarakat Telegu di Bagan Datuk,” katanya selepas Program Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) di Hutan Melintang, tengah hari tadi.

Tambahnya lagi, dirinya boleh tersenyum dan berdiam diri apabila melihat fitnah seumpama itu tetapi apabila melibatkan rakyat di Bagan Datuk dan Malaysia ditipu pihaknya tidak akan berkompromi.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas diminta mengulas penyebaran gambar kain rentang kempen BN yang tular kononnya ditulis dalam bahasa Bangladesh, Ahad lalu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Twitternya menempelak serta menyifatkan tindakan itu sebagai contoh fitnah pembangkang yang terdesak akibat tiada bahan untuk berkempen – sinar

BERITA BERKENAAN30 ahli PKR Ranting Kuala Kurau Keluar Parti Tekad Sertai UMNO