JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pemprosesan heroin selepas menahan lapan individu menerusi tujuh serbuan berasingan di sekitar negeri ini membabitkan nilai rampasan dadah RM640,000, Sabtu lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kegiatan terbabit terbongkar hasil risikan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Johor selama tiga minggu.

Katanya, kejayaan terbaru itu membolehkan lapan ahli sindiket termasuk tujuh warga tempatan dan seorang warga Bangladesh dipercayai pakar kimia berusia 28 hingga 59 tahun ditahan pada operasi bermula jam 2.40 petang hingga jam 7 malam.

Menurutnya, pada serbuan pertama, dua lelaki tempatan berusia 30 dan 40-an ditahan di sebuah rumah di Bukit Indah yang digunakan sebagai makmal haram memproses heroin.

“Turut dirampas heroin dan bahan kimia disyaki kafein bersama peralatan memproses dadah dengan seorang daripadanya ada rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, susulan itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 35 dan 42 tahun di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan bahan kimia bagi memproses heroin di Taman Bukit Indah.

“Serbuan ketiga di Taman Bukit Perdana, Batu Pahat turut menahan dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun dengan seorang daripadanya pernah ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Menurut beliau, selain itu, seorang lelaki berusia 30-an ditahan di sebuah rumah lain di di Bukit Indah sebelum polis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses heroin di Taman Mutiara Rini.

Beliau berkata, seorang warga Bangladesh berusia 30-an dipercayai ahli kimia ditahan di Jalan Puncak Kempas sebelum sebuah lagi makmal heroin diserbu di Taman Tan Sri Yaakob, Skudai.

“Selain menahan suspek, pelbagai jenis dadah bernilai dirampas membabitkan 31.7 kilogram (kg) heroin, 440 gram ketamin, 110 gram syabu dan 84kg kafein.

“Lapan kenderaan turut dirampas, selain pelbagai jenis mata wang tempatan, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat dengan nilai sitaan lebih RM800,000,” katanya.

Katanya, pihaknya percaya dadah berkenaan untuk bekalan tempatan dan ia mencukupi untuk kegunaan 162,000 penagih.

Semua suspek direman sehingga Sabtu ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati – berita harian