JIKA anda berkesempatan berkunjung ke bandar DiRaja Kuala Kangsar, semestinya anda tidak akan melepaskan peluang menjengah sebentar ke Bukit Chandan, sebuah kawasan yang terkenal dengan istana rasmi Sultan Perak, Istana Iskandariah.

Apabila memasuki sahaja di kawasan kampung berdekatan Bukit Chandan, anda pastinya akan terpegun dengan pemandangan indah pepohon rendang di sepanjang jalannya, ditambah pula dengan keunikan beberapa rumah lama.

Di sebalik namanya, pasti ramai yang tidak mengetahui sejarah tempat ini di mana tertumpunya khazanah yang masih kekal dipelihara untuk tatapan masyarakat awam, contohnya Muzium DiRaja Perak yang dibina tanpa paku, Galeri Sultan Azlan Shah, Masjid Ubudiah dan Madrasah Idrisiah.

Menurut penceritaan orang terdahulu, nama Bukit Chandan diambil bersempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan. Kononnya pada suatu hari gajah itu telah lari lalu Raja Idris bersama juak-juaknya mengikuti jejak gajah tersebut hingga ke kaki Gunung Bubu.

Lalu Baginda bertembung dengan seorang tua berjanggut panjang memakai jubah putih, lantas orang tua itu datang sembah dan berkata:

“Tuanku bakal menjadi Sultan Perak setelah Tuanku ditabalkan menjadi Sultan, janganlah bersemayam di Sayong tetapi hendaklah Tuanku membuat istana di atas bukit pinggir Batang Hari. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah Tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan Tuanku”.

Setelah Raja Idris ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-28, segala pesanan tersebut telah ditunaikan, bermula dari tarikh itu nama Bukit Chandan kekal sebagai tempat terletaknya istana rasmi DYMM Sultan Perak.

Apabila bertandang ke sini, singgahlah ke Galeri Sultan Azlan Shah yang mempamerkan pelbagai koleksi peribadi Sultan terdahulu hingga kini serta penerangan bertulis mengenai susur galur keluarga Sultan.

Galeri ini yang dibuka setiap hari mendapat perhatian daripada masyarakat dari dalam dan luar negeri Perak dengan bayaran masuk hanya RM4 seorang.

Kebanyakan barangan yang dipamerkan seperti foto kandid baginda di usia muda dan remaja mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

Bagi sesiapa yang belum berpeluang melawat galeri ini, sememangnya ini merupakan masa yang sesuai untuk anda melihat secara dekat dan eksklusif berkaitan barangan DiRaja.

Menurut Sahiran Safie,40, kawasan Bukit Chandan memang terkenal dengan pelancong luar yang seringkali datang ke sini terutama pada hujung minggu bagi melihat dan memahami sejarah Kesultanan Melayu di Perak.

“Bila hujung minggu sahaja, mesti ramai yang datang ke Bukit Chandan, ada yang datang jauh dari Kedah dan Kelantan secara berkumpulan untuk lihat barangan dan informasi yang disediakan untuk tatapan ramai.

“Orang ramai boleh tahu serba sedikit sejarah di negeri Perak, mungkin juga maklumat itu boleh digunakan bahan kajian dalam pelajaran dan sebagainya,” kata Sahiran.

Selain itu Bukit Chandan turut melahirkan ramai tokoh terkenal zaman dahulu yang berjaya menaikkan nama Bukit Chandan kepada umum. Antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harusani Zakaria dan Kadi Besar/Ketua Hakim Syari’e Negeri Perak ke – 6, Dato’ Sulaiman Abdul Kadir.

Kawasan kejiranan di sini pula kelihatan tenang dan jauh daripada kesibukan bandar memandangkan lokasi yang terletak agak jauh daripada jalan utama, malahan penduduknya juga beruntung dengan suasana aman damai di situ.

Ciri binaan rumahnya juga masih dikekalkan mengikut tradisi negeri Perak dan ada di antaranya masih kukuh walaupun sudah berusia puluhan tahun.

Malah terdapat juga cadangan daripada pihak tertentu untuk mewartakan beberapa rumah lama di situ sebagai bangunan warisan, bas pelancongan serta kebenaran untuk masyarakat Chandan menjual barangan cenderahati di lokasi strategik.

Kelincahan ekonomi, lebih-lebih lagi lokasinya yang berhampiran dengan Sungai Perak menyebabkan penduduknya secara tidak langsung menerima limpahan ekonomi melalui aktiviti perniagaan dan sebagainya.

Tidak dilupakan menu wajib yang perlu anda cuba iaitu laksa Kuala Kangsar yang banyak dijual di gerai-gerai kecil di sepanjang pinggiran sungai tersebut.

Memandangkan kawasan ini sinonim dengan kawasan istana maka ramai keturunan DiRaja Perak dan keturunan Megat tinggal di sini, dahulunya keturunan Megat bertugas sebagai Bendahara dan Pegawai Istana.

Malah sehingga ke hari ini keturunan itu terus bertapak dan mengekalkan tradisi mereka dalam menjaga institusi DiRaja negeri Perak.

Begitulah bingkisan sejarah asal usul sebagaimana Chandan mendapat gelaran namanya sebagai tapak asal bermulanya pemerintahan Kesultanan Melayu Perak di bawah pemerintahan Sultan Perak yang ke-28.