BAGAN SERAI: Seorang warga emas menyelamatkan diri dengan berteduh di bawah pokok berhampiran sawah akibat terlalu takut selepas melihat bumbung rumah jirannya diterbangkan angin kuat dalam kejadian ribut melanda Kampung Parit Simpang Lima, Alor Pongsu, di sini, semalam.

Saayah Hamdan,66, berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dia yang tinggal bersendirian terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat seperti letupan selepas hujan lebat melanda kampung itu.

“Saya melihat ke luar dan terkejut serta takut apabila melihat angin kuat berpusar di atas rumah jiran yang ketika kejadian tiada penghuni sebelum melihat beberapa kepingan bumbung terpelanting.

“Akibat terlalu takut, saya melarikan diri ke sawah kerana bimbangkan keselamatan saya yang berada di dalam rumah selepas melihat bumbung rumah jiran sudah terpelanting,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Parit Simpang Lima, Alor Pongsu, di sini, hari ini.

Saayah berkata, kejadian itu paling menakutkan pernah dihadapinya sepanjang tinggal di kampung berkenaan dan dia hanya mampu beristighfar serta berzikir ketika melihat angin menerbangkan bumbung rumah jirannya.

Terdahulu Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat melawat dan menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa terbabit.

Dalam kejadian ribut semalam, enam rumah di kampung itu mengalami kerosakan termasuk dua daripanya mengalami kerosakan bumbung yang teruk.

Sementara itu, jiran Saayah, Mohd Nizam Saad, 38, berkata, ketika kejadian dia bersama emak serta ahli keluarga lain tiada di rumah dan hanya mengetahui kejadian itu apabila dihubungi Saayah.

“Saya serta ahli keluarga lain segera pulang ke rumah dan terkejut apabila melihat semua peralatan rumah termasuk barangan elektrik dan perabot rosak selepas bumbung diterbangkan angin kuat.

“Saya anggarkan mengalami kerugian lebih RM10,000 kerana selain bumbung, banyak peralatan elektrik serta perabot turut rosak,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, sumbangan awal itu adalah bagi meringankan beban ditanggung keluarga berkenaan selepas rumah mereka rosak akibat kejadian itu.