PADANG RENGAS: “Nasib baik tiada orang di rumah ketika kejadian, jika tidak tak tahulah apa akan jadi,” kata Mustapha Kamil Abu Johor, 57.

Beliau kerugian kira-kira RM7,000 apabila bumbung dan siling bahagian ruang tamu rumahnya di Kampung Merbau Tua, Lubuk Merbau di sini, runtuh dalam kejadian puting beliung pada jam 6.30 petang semalam.

Anggota polis itu berkata, selain rumahnya, rumah adiknya berdekatan turut terjejas apabila bumbung pada bahagian bangsal berteduh bersebelahannya diterbangkan angin.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan atap zink sebuah kedai makan yang terletak berhampiran rosak dipukul angin, selain khemah kanopi milik perniagaan diusahakan menantunya turut musnah.

“Sudah berbelas tahun kami tinggal di sini dan ini kali pertama kejadian ribut disusuli angin puting beliung berlaku di kawasan ini walaupun sebelum ini kawasan ini pernah beberapa kali dilanda tiupan angin kencang tetapi tidak mengakibatkan kerosakan teruk.

“Mujurlah ketika kejadian, saya dan isteri berada di Gerik, manakala anak saya belum pulang kerja dan ahli keluarga yang lain pula berada di gerai yang diusahakan di depan rumah kami ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Mustapha Kamil berkata, kediamannya yang terletak berhampiran kawasan sawah padi yang lapang meningkatkan risiko tiupan angin kencang.

“Saya bersyukur kerugian dialami akibat ribut ini mendapat perhatian ketua kampung,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd