JASIN: Kemeriahan Syawal penduduk Kampung Tedung Pantai di sini, terjejas selepas dilanda ribut yang mengakibatkan bumbung 22 kediaman musnah diterbangkan dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, penduduk mendakwa hujan lebat luar biasa disusuli ribut petir selama kira-kira sejam melanda, menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut sebelum bumbung kediaman diterbangkan angin kencang.

Seorang penduduk, Apandi Md Kaim, 37, berkata mendakwa melihat dua pusaran seperti puting beliung disusuli petir.

“Semuanya berlaku secara tiba-tiba sebelum ribut menerbangkan bumbung rumah saya. Saya bergegas mengejutkan isteri dan anak yang tidur untuk berlindung di rumah mentua.

“Tiada apa dapat diselamatkan ketika itu kerana cuma memikirkan nyawa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Basir Md Sudi, 47, berkata keluarganya melaungkan azan ketika keadaan kelam-kabut selepas angin kencang menerbangkan bumbung rumahnya.

“Kelengkapan rumah seperti perabot, katil, peralatan sekolah dan persiapan Aidilfitri semua musnah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Adly Zahari, melawat mangsa terjejas kira-kira jam jam 10 pagi tadi.

Beliau yang meluangkan masa kira-kira dua jam di tempat kejadian turut mengarahkan mangsa ribut segera membuat laporan polis, selain mengarahkan pegawai di pejabat daerah menilai kerosakan akibat kejadian berkenaan.

“Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan segera berupa barang makanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain mungkin membuka pusat penempatan sementara.

“Kita akan mengarahkan kontraktor segera membaiki kerosakan bumbung rumah mangsa yang terjejas sebaik penilaian dibuat dan menggunakan peruntukan Tabung Bencana Alam,” katanya di sini, hari ini.

Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, turut memuji kecekapan agensi kerajaan termasuk JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertindak segera itu walaupun ketika musim perayaan – berita harian