KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas bunga api, mercun dan minuman keras bernilai RM23.3 juta menerusi Ops Deepavali di seluruh negara bermula 15 Oktober lalu.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Azimah Abd Hamid, berkata sebanyak 3,380 pemeriksaan dijalankan membabitkan serbuan ke atas premis, sekatan jalan raya dan rondaan air serta darat.

Beliau berkata, operasi selama 28 hari itu membabitkan seluruh kekuatan pegawai dan pegawai kanan penguatkuasaan kastam seluruh negara.

“Daripada pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 382 kertas siasatan dibuka membabitkan pelbagai kesalahan.

“Daripada keseluruhan kes berkenaan 170 kes dikompaun dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM539,354 dan selebihnya 186 kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Azimah berkata, keseluruhan nilai rampasan terbabit adalah sebanyak RM23.3 juta dengan anggaran cukai sebanyak RM22.5 juta.

“Daripada jumlah keseluruhan kes berkenaan, sebanyak 22 kes adalah tangkapan ke atas mercun dan bunga api pelbagai jenama sebanyak 1,054 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan RM17,252 di mana lapan kes daripadanya dikompaun sebanyak RM9,450.

“Bagi tangkapan ke atas minuman keras pula JKDM mengendalikan 119 kes dan jumlah keseluruhan kuantiti dirampas adalah sebanyak 231,460.89 liter minuman keras dengan nilai rampasan sebanyak RM1.65 juta,” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM7.9 juta nilai cukai yang berjaya diselamatkan dan dari jumlah kes terbabit sebanyak 60 kes dikompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM141,244.

“Bagi kes-kes yang membabitkan tangkapan ke atas rokok pula sebanyak 202 kes diperoleh dan anggaran sebanyak 26,457,858 juta batang rokok berjaya dirampas.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM1.8 juta dan sebanyak RM13.9 juta jumlah cukai yang berjaya diselamatkan, 87 kes daripadanya dikompaun sebanyak RM344,090,” katanya.

Katanya, operasi perayaan yang dijalankan serentak di seluruh negara bertujuan untuk menyekat ‘supply and delivery system’ barang-barang belum lulus kastam terutamanya mercun dan bunga api yang kebiasaannya didapati bila tiba musim perayaan.

“Disamping itu juga operasi ini dapat memperlihatkan kekuatan JKDM memerangi jenayah penyeludupan dan keupayaan untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Operasi ini juga diharap dapat memberikan impak positif dengan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pendirian JKDM yang tidak bertolak ansur dengan aktiviti penyeludupan,” katanya – berita harian