IPOH – Buntong akan diberi wajah baharu menerusi pembangunan terancang dalam tempoh dua tahun ini.

Komitmen itu dizahirkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaras dengan hasrat kerajaan PH memberi perkhidmatan sama rata kepada semua kaum.

Beliau berkata, menerusi Bajet Negeri 2019, kerajaan sendiri menyediakan peruntukan RM10 juta bagi urusan hal ehwal bukan Islam termasuklah bagi pembangunan di Buntong.

“Memang hasrat kita mahu memajukan kawasan ini, tetapi ia tidak bolehlah dilakukan sekelip mata, semuanya perlu ada perancangan dan kita sedang ke arah itu.

“Jika dua tahun tempoh diperlukan, maka mulai tahun depan sudah ada perubahan dan pembangunan bakal dilakukan di sini,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat Buntong sempena sambutan Deepavali dan Krismas di Bulatan Tun Sambathan Jalan Sungai Pari, malam tadi.

Hadir sama, Adun Buntong, A Sivasubramaniam.

Ahmad Faizal berkata, produk kacang putih yang menjadi identiti Buntong juga akan diangkat untuk diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Kita perlu usahakan semua pelancong dapat mengenali keunikan kacang putih contohnya bila pelancong sampai sahaja di lapangan terbang, terus sahaja kita hidangkan kacang putih.

“Untuk pastikan produk tempatan mampu menembusi pasaran luar negara, pengusaha perlu melipatgandakan usaha selain memastikan kualiti produk sentiasa ditingkatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong berkata, antara pembangunan dirancang di kawasan itu termasuklah pembinaan rumah mampu milik juga menaik taraf apartment di Sungai Pari yang kini terbiar.

“Tapak di hadapan balai polis (Kampung Baru Buntong) seluas 37 ekar itu akan kita bangunkan secepat mungkin bagi pembinaan lot rumah, begitu juga perumahan di Sungai Pari, peruntukan dah lulus dan kita akan laksanakan dalam masa terdekat,” katanya – sinar