IPOH: Buntong yang pernah dikenali sebagai kawasan `gengster’ kini berjaya melahirkan ramai pegawai tinggi dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari kalangan kaum India.

 

Antaranya ialah Timbalan Pengarah Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk A. Thaiveegan, Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintenden, A. Pamnaswaran dan bekas Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam.

 

Pegawai Kepolisan Masyarakat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Deputi Superintenden Ng Bo Huat berkata, kemunculan mereka telah membawa banyak perubahan di kawasan Buntong.

 

Menurut beliau, antara perubahan paling ketara ialah kekurangan kes jenayah termasuk gengsterism di kawasan tersebut.

 

“Ia juga memberikan satu petanda baik dari segi keselamatan dan sumbangan mereka kepada negara,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Tahun Baru Cina 2017 anjuran  Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baharu Buntong di Dewan KRT Buntong pada Isnin.

 

Hadir sama Pegawai Perpaduan Daerah Kinta, Lidiawati Zambri.

 

Menurut Bo Huat, meskipun kes jenayah di Buntong adalah terkawal, namun masih terdapat masalah penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan dan pihak polis sentiasa menjalankan operasi bagi membendungnya.

 

“Pihak polis sentiasa menjalin kerjasama mantap dengan mengadakan beberapa siri program komuniti dengan tujuh pasukan KRT di kawasan Buntong untuk memberi kesedaran mengenai langkah-langkah pencegahan jenayah dan kegiatan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

 

Majlis itu telah diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan Cina dari komuniti Kampung Baharu Buntong dan pemberian limau kepada pengunjung.