BALIK PULAU: Kecewa kerana putus cinta, seorang lelaki maut selepas dia menikam dada dan mengelar pergelangan tangan kirinya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bayan Baru, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun dan bekerja sebagai kerani akaun ditemui sudah meninggal dunia oleh bapa saudaranya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati si mati baru empat hari putus cinta dengan teman wanitanya.

Menurutnya, sejak itu mangsa dilihat kemurungan dan tidak dapat menerima hakikat selain turut kerap memberitahu ahli keluarga mahu membunuh diri.

“Dia juga ada menghantar kiriman WhatsApp kepada ibu dan bapa saudaranya memberitahu dia sudah menikam diri sendiri pada 2.30 pagi.

“Bagaimanapun, bapa saudaranya itu sudah tidur dan hanya menyedari kiriman mesej terbabit pagi tadi sebelum pergi ke rumah mangsa,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah mangsa, bapa saudaranya itu melihat pintu tidak berkunci dan terbuka sedikit.

“Bapa saudaranya itu kemudian masuk dan melihat mangsa terbaring berlumuran darah sebelum menghubungi polis.

“Hasil siasatan lanjut di lokasi kejadian, polis menemui pisau yang dipercayai digunakan mangsa untuk menikam dada dan mengelar pergelangan tangannya,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada kesan pecah pintu atau tingkap serta barang berharga mangsa juga tidak dicuri.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya – berita harian