IPOH:
Seorang pekerja sebuah resort di Pulau Pangkor dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh majikannya yang juga seorang wanita hamil di Teluk Nipah, Pulau Pangkor pada 10 tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis, menjatuhkan hukuman itu terhadap Hamzah Osman, 28, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam penghakiman beliau, Anselm berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira hujahan dan penjelasan yang terperinci daripada pihak pendakwaan dan pembelaan selain daripada keterangan 20 orang saksi-saksi pendakwaan.

“Justeru kamu, Hamzah Osman didapati salah dan disabitkan pertuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Tiada hukuman lain yang diperuntukkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain hukuman gantung. Oleh itu kamu akan digantung di leher sehingga mati,” katanya.

Hamzah yang ketika kejadian bekerja sebagai pengemas bilik di resort berkenaan didapati membunuh Norazuda Iden, 31, yang hamil enam bulan sewaktu insiden berkenaan.

Insiden itu berlaku sekitar pukul 1 pagi, 18 Ogos 2008, di bilik 202, Suria Beach Resort, Teluk Nipah,Pulau Pangkor.