SHAH ALAM: Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menahan seorang lelaki hanya beberapa minit sebelum pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Suspek berusia 34 tahun itu dalam perjalanan pulang ke Sibu, Sarawak.

Penahanannya bagi membantu siasatan pembunuhan seorang anggota polis di Balai Polis Pingiran USJ, pagi Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, sebelum ini lelaki berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Tangkapan dibuat pada kira-kira pukul 1 pagi, ia dibuat di dalam pesawat.

“Polis akan memohon perintah reman terhadap suspek pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Mazlan, penahanan itu adalah proses siasatan yang dilakukan mengikut peruntukan sedia ada.

“Diharap tiada sebarang spekulasi timbul membabitkan tangkapan ini, kerana ia boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

Awal pagi Khamis, Lans Koperal Valentino Mesa, 29, ditetak dan ditembak ketika bertugas.

Mayat anggota polis berkenaan ditemui kira-kira jam 3.25 pagi oleh rakan setugas dari Unit Peronda (MPV) yang pulang semula ke Balai Polis Pinggiran Subang selepas selesai melakukan rondaan.

Anggota terbabit yang mendapati balai polis berkenaan dalam keadaan bergelap, menemui mangsa tertiarap berdekatan Kaunter Pertanyaan dan selepas menyalakan lampu, beliau mendapati ada beberapa kesan tetakan di bahagian kepala dan satu kesan tembakan di bahagian belakang badannya.

Mazlan dilaporkan berkata, pistol mangsa didapati hilang dan dipercayai dilarikan penjenayah.

Beliau berkata, mangsa yang berkhidmat selama tujuh tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sudah berkahwin tetapi belum mempunyai anak.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2017/09/01/tahan-suspek/#La3WJc67dLrpbcff.99