Oleh: Nazialita Geynna Maharan

MANJUNG: Mahkamah Majistret Seri Manjung mengenakan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung kes pembunuhan dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 29 September lepas.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid yang membenarkan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang dikemukakan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) .

Perintah itu membolehkan kedua-dua anggota TLDM tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua anggota berkenaan yang berumur 29 dan 37 tahun sebelum ini direman di bawah Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan atas tuduhan mendatangkan cedera parah dan melakukan ugutan jenayah.

Ia berhubung kes kematian dua anggota TLDM iaitu Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1, Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, di Bilik Tahanan, Sungai Wangi, Sitiawan pada 29 September lalu.

Tempoh reman tiga hari yang dikenakan sebelum ini ke atas kedua-dua suspek tersebut, berakhir semalam.