IPOH – Kerajaan negeri sedang melakukan siasatan terhadap bunyi letupan kuat sehingga berlaku gegaran selama beberapa saat di sekitar bandaraya ini, pagi tadi.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya telah meminta jabatan-jabatan terlibat khususnya jabatan Meteorologi menyiasat perkara itu secepat mungkin bagi mengetahui asal usul bunyi berkenaan.

“Setakat ini saya masih belum menerima apa-apa laporan mengenai perkara itu, tapi saya sudah minta mereka (jabatan-jabatan) terlibat untuk melihat perkara ini, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bunyi dentuman kuat yang berlaku di bandaraya ini sekitar jam 11.30 pagi tadi.

Setakat ini, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika dihubungi memberitahu masih belum mendapat apa-apa laporan mengenai kejadian berkenaan oleh orang awam.

Melalui komen-komen orang ramai di media sosial, bunyi kuat berkenaan dapat didengari di beberapa kawasan seperti Tambun, Ipoh Garden, Pekan lama, Meru dan juga Pengkalan serta disusuli dengan gegaran selama beberapa saat.

Bunyi kuat itu juga telah mencetuskan beberapa khabar angin dikalangan penduduk, antaranya ia merupakan ujian bom oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ia merupakan proses pemecahan batu di kawasan kuari dan juga gempa berkenaan kononnya susulan letusan gunung berapi di Indonesia.