Oleh: Intan Zalila Baharudin – suaraperakeditorial@gmail.com

BURMESE POOL merupakan kawasan perkelahan popular di Taiping yang terletak di kaki Bukit Larut. Ia dibina pada tahun 1870 dan merupakan kolam renang pertama yang dibina di Malaysia. Suasana alam sekitar yang mendamaikan di samping airnya yang jernih menjadi tarikan utama pengunjung tempatan dan luar negara untuk datang mandi manda di sini.

Nama Burmese Pool dipercayai berasal daripada Rejimen Askar Burma yang menemui tempat ini pada tahun 1920. Askar-askar dari Burma Rifle Regiment telah dibawa untuk menggantikan Malay States Guide yang telah dibubarkan pada ketika itu. Burmese Pool adalah kolam semulajadi yang pada asalnya digunakan untuk aktiviti rekreasi oleh tentera.

Sumber air kolam ini adalah dari Sungai Batu Tegoh yang terletak berdekatan. Lantaran lokasi, kejernihan air dan kehijauan yang mengelilingi kolam ini tidak hairanlah ia menjadi antara tumpuan pelancong setiap kali bercuti di Taiping. Dengan latar belakang sejarahnya, tidak hairanlah kenapa tempat ini menjadi tumpuan ramai pengunjung dari dalam atau luar negara setiap kali musim cuti sekolah mahupun cuti umum di samping hujung minggu.

Zulfati Yasmin Zolkefly, 20

Pengunjung bersilih ganti, akan tetapi sampah yang ditinggalkan menyakitkan mata kepada orang lain. Pelajar Kolej Vokasional Taiping, Zulfati Yasmin Zolkefly, 20, yang kerap berkunjung ke Burmese Pool berkata beliau dan kawan-kawan biasa disapa oleh timbunan sampah yang ditinggalkan di tebing kolam dan sampah yang terapung ketika sedang mandi. “Saya kerap datang ke sini, sekurang-kurangnya seminggu sekali. Apabila dah selalu, memang selalulah nampak sampah-sampah tu kat tepi-tepi kadang-kadang yang terapung di permukaan sungai pun ada. “Pada pendapat saya, perbuatan membuang dan meninggalkan sampah ini tidak sepatutnya menjadi amalan. Ia akan menyebabkan pelancong mempunyai tanggapan tidak elok kepada kita, kerana ini merupakan satu tempat terikan pelancong di sini,” kata beliau.

Cakna dengan masalah tersebut, Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Taiping dan Timbalan Pengerusi Persatuan Warisan Taiping, Abdul Halim Yahaya bersama ahli-ahli persatuan mengadakan aktiviti mengutip sampah di Burmese Pool sebanyak dua kali sebulan.

Abdul Halim

Menurutnya, walaupun ada papan tanda yang mengingatkan pengunjung supaya tidak membuang sampah merata-rata, ia bagaimanapun tidak meninggalkan kesan kepada mereka. Abdul Halim berkata, Persatuan Pelancongan Taiping dan Persatuan Warisan Taiping adalah antara lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak aktif dan sering menjalankan aktiviti pembersihan di kawasan tumpuan pelancong di daerah itu sejak tahun 2011.

“Satu cadangan saya yang tidak dapat dilaksanakan sehingga sekarang ialah untuk menempatkan para sukarelawan daripada mana-mana persatuan di pintu masuk Burmese Pool dengan beg plastik. “Para sukarelawan ini akan memberi beg tersebut kepada para pengunjung dan meminta mereka untuk mengisi sampah di dalam beg plastik itu dan membuangnya di dalam tong sampah yang disediakan, dengan cara yang baik dan sopan,” katanya.

Mohammad Afifi Mat Rusly

Sementara itu, kakitangan Saguntang Team Enterprise Mohammad Afifi Mat Rusly berasa terpanggil untuk melakukan pembersihan di kawasan perkelahan itu, walaupun ia tidak termasuk di dalam senarai tugas beliau sebagai penjaga parkir di situ.

Menurut beliau, seawal jam 7 pagi beliau akan mengutip sampah sehingga pukul 10.30 pagi mankala rutin pada waktu petangnya bermula sekitar jam 5 petang sehingga 6.30 petang. “Saya berharap pengunjung akan mengubah sikap yang suka membuang sampah di merata tempat kerana jika tidak, masalah ini akan berterusan. “Jika pengunjung merungut dan bertanya mengapa tempat ini kotor, saya harap mereka tidak marah kerana saya sebagai kakitangan di sini telah berusaha sehabis baik untuk mengutip sampah setiap hari.

“Selain daripada Majlis Perbandaran Taiping, NGO dan saya, ada juga sekolah-sekolah, contohnya Tunas Bakti yang banyak membantu membersihkan kawasan Burmese Pool ini,” katanya yang mempersoalkan sehingga bila perlu mengharapkan tenaga kerja dari pelajar sekolah itu.

Mohd Afifi menyarankan agar masyarakat turut memainkan peranan untuk kepentingan bersama sekaligus mengelakkan penyakit berbahaya seperti jangitan kencing tikus dan denggi. Pusat perkelahan yang beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari itu menyaksikan pertambahan bilangan pengunjung dan pelancong yang lebih ramai pada hari cuti umum, cuti sekolah dan hujung minggu.

Apa yang dikesalkan ialah timbunan sampah yang ditinggalkan usai para pengunjung menikmati makanan dan menikmati kesejukan air kolam ini. Tindakan mereka meninggalkan sampah seperti polisterin makanan, botol air dan lampin pakai buang di tebing sungai, di pangkal pokok serta di celah batu menimbulkan kesukaran kepada pihak pengusaha untuk mengutip kesemua sampah itu. Ia sekaligus menarik haiwan liar seperti monyet untuk menggeledah sampah tersebut kerana menyangka masih ada makanan.

Dalam pada itu, Mohd Afifi berterima kasih kepada pihak Majlis Perbandaran Taiping yang peka dengan masalah tersebut kerana turut memberi sebuah tong sampah besar untuk kegunaan pengunjung selain turut memberikan kerjasama dalam usaha pembersihan.

YB Tan Kar Hing

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Negeri Perak, YB Tan Kar Hing berkata, isu itu akan berterusan sekiranya masyarakat dan pengunjung mengambil sikap sambil lewa dan tidak mementingkan kebersihan, yang akhirnya akan merugikan kerajaan negeri dalam usaha mempromosikan produk pelancongan kepada para pelancong.

“Ini adalah sikap rakyat Malaysia secara umumnya yang tidak mengambil kisah mengenai kebersihan alam sekitar. Memang kita ada undang-undang untuk denda mereka yang menyalahi undang-undang, tetapi masih lagi mereka membuat benda yang sama. “Jadi, salah satu cara yang mungkin kita boleh lakukan ialah dengan mencontohi negara-negara lain dengan memanggil atau mengumpulkan sukarelawan daripada sekolah, kolej dan universiti untuk kita memantau ataupun membantu kita menjadi duta menjaga kawasan-kawasan tempat pelancongan.

“Saya bersetuju dengan cadangan Abdul Halim dan boleh mengusulkan penambahbaikan dengan melantik para sukarelawan untuk membantu kerajaan negeri mengenalpasti siapa yang membuang sampah supaya kita boleh ada satu amaran ataupun peringatan kepada pelancong yang datang,” kata beliau. Oleh itu, pengunjung dinasihatkan supaya mengutamakan kebersihan dan menjaga alam sekitar kerana bumi kita ini hanya dipinjamkan kepada kita untuk dipelihara untuk generasi akan datang.

Lokasi tempat membakar sampah