IPOH – Jabatan Imigresen Negeri Perak akan meneruskan operasi secara besar-besaran bagi memburu dan memberkas pendatang asing tanpa izin (Pati).

Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata, pihaknya memberikan banyak peluang kepada Pati menyerah diri sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Kita akan buru hingga ke lubang cacing. Jabatan Imigresen sudah bagi banyak peluang untuk serah diri.

“Saya memohon kerjasama dalam kalangan orang ramai kalau ada maklumat boleh hubungi kami,” katanya.

Kamalludin berkata demikian pada sidang media sempena Ops Mega 3.0 (Kutip) di pejabat Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), malam tadi.

Sementara itu, Kamalludin berkata, operasi bermula sekitar 11.29 pagi berakhir 7.30 malam di sekitar bandaraya Ipoh berkenaan turut mengesan beberapa kesalahan dilakukan Pati berkenaan selama ini.

Katanya, antara kesalahan berkenaan adalah tinggal melebihi di negara ini untuk tinggal lebih lama yang lama selain tidak memiliki dokumen, cop palsu dan salah guna pas lawatan.

“Kita akan teruskan lagi operasi ini bagi memburu Pati,” katanya – sinar