TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menjalankan operasi sitaan terhadap 36 pemilik harta yang mempunyai tunggakan cukai taksiran berjumlah RM60,000.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, operasi selama dua hari itu melibatkan 12 kakitangan daripada Unit Tindakan Khas, Jabatan Penilaian dan Harta serta Unit Penguatkuasaan.

Menurutnya, operasi berkenaan sebagai salah satu usaha untuk mempertingkatkan kutipan hasil cukai taksiran.

“Dalam masa sama, ia juga sebagai usaha untuk mendidik masyarakat supaya melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai,” katanya, semalam.

Beliau berkata, dalam operasi itu, tujuh pemilik harta telah menjelaskan keseluruhan tunggakan.

“Manakala enam pemilik harta telah disita barangan rumah seperti empat unit televisyen, satu set sofa, satu unit peti sejuk dan bakinya masih dalam peringkat perbincangan serta bayaran secara ansuran,” katanya.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, sehingga kini, jumlah keseluruhan tunggakan cukai melibatkan sektor industri dan kediaman berjumlah RM8.2 juta.

“Ia merangkumi 14,000 pemilik harta yang berada di bawah kawasan seliaan MPT yang masih mempunyai tunggakan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa berusaha keras bagi memastikan pemilik harta segera menjelaskan tunggakan berkenaan.

“Ketika ini, kita mengambil pendekatan pergi pintu ke pintu bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai tunggakan secara berperingkat.

“Kita mulakan dengan tunggakan cukai taksiran membabitkan kediaman dan seterusnya kilang dan premis perniagaan mengikut kawasan seperti Kamunting, barulah Taiping,” katanya.

Jelas Abd Rahim, usaha itu akan dilakukan berterusan kerana pada tahun lalu, MPT berjaya mengutip RM18 juta iaitu 86 peratus daripada jumlah keseluruhan cukai taksiran.

“Pada tahun ini, kita berharap lebih 90 peratus cukai taksiran dapat dikutip melibatkan sebanyak 77,000 pemilik harta.

“Malah, kita juga berharap lebih 30 peratus daripada jumlah tunggakan sedia ada dapat dikutip semula pada tahun ini,” katanya.

Katanya, MPT amat berharap pemilik harta yang mempunyai tunggakan dapat menjelaskannya bagi mengelak harta mereka disita.

“Operasi sitaan akan dijalankan secara berperingkat melalui Seksyen 151, Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh melelong premis pemilik yang gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran,” katanya.

-Sinarharian