MELAKA: Buruh binaan warga Bangladesh terbunuh selepas tertimbus dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter ketika melakukan kerja mengorek tanah di tapak kilang baharu di Taman Perindustrian Bukit Rambai, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Babul, 45, terjerumus ke dalam runtuhan tanah ketika kerja mengorek dilakukan rakannya, Suwaji Jali menggunakan jengkaut jenis JCB.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kilang pembuatan peralatan produk berasaskan bahan kimia yang masih dalam pembinaan.

“Ketika kejadian, rakan mangsa, Suwaji sedang mengorek lubang sedalam kira-kira tiga meter.

“Sejurus selepas itu, mangsa turun ke dalam lubang dan secara tiba-tiba tanah di bahagian tepi tebing runtuh bersama batu lalu menimbus mangsa. Mangsa tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat ditugaskan mengeluarkan mangsa daripada timbunan tanah dan batu berkenaan.

Katanya, ketika mangsa dikeluarkan, mayatnya disaluti lumpur selain terdapat kesan luka pada sebelah kanan kepala dipercayai terkena runtuhan batu.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau khianat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Zaidi Kadiron berkata, sepasukan sembilan anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

“Pihak bomba menerima panggilan jam 4.13 petang dan tiba di lokasi lapan minit kemudian. Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4.43 petang,” katanya – berita harian