IPOH: Seorang buruh binaan warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan membunuh rakan senegaranya, 18 tahun lalu.

Niwar Ali, 50, yang turut mempunyai kad pemastautin tetap dituduh membunuh Rebin Sumadi Suwoko di hadapan kedai runcit tapak projek Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah pada 1.25 pagi 14 April 2001.

Dia didakwa di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Tiada sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh.

Hakim Azman Abu Hassan menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sally Chay Mei Ling Nurul sementara tertuduh diwakili peguam, K. Nahtan.