IPOH: Polis Perak berjaya menahan seorang lelaki berusia 38 tahun membawa 1.4 kilogram heroin di Simpang, Taiping pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, V. Ravi Chandran berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh itu ditahan dalam satu operasi khas oleh JSJN Perak dan Ibu Pejabat Polis Taiping di tepi jalan tersebut sekitar jam 11 malam.

“Nilai kesemua rampasan dadah adalah RM35,100 yang mana boleh dibekalkan kepada penagih dadah lebih kurang 930 orang.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod kesalahan lampau yang mana kesemuanya bersangkut dengan kes jenayah dan dadah,” kataya dalam satu sidang media khas di Ipoh pada Khamis.

Beliau memberitahu ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kita turut merampas motosikal jenis Honda EX5 milik suspek dan dia direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 7 Februari ini,” ujarnya.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.