BALING: Akibat berhutang RM30, seorang buruh dipercayai ditetak sekumpulan lelaki yang juga rakannya, kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Mangsa berusia 45 tahun, cedera di bahagian belakang badan dan tangan kiri selepas diserang dengan parang di rumahnya di Jalan Sekerat, Tawar dekat sini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, berkata kejadian dipercayai membabitkan tiga suspek berusia antara 20-an hingga 30-an dikenali mangsa, berpunca daripada hutang dan tidak puas hati.

“Sejurus menerima laporan kejadian, anggota membuat tangkapan ke atas tiga suspek terbabit di tepi Jalan Kampung Baru, Sungai Tawar, kira-kira jam 9 malam hasil maklumat orang awam.

“Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai kerana hutang,” katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Baling (HB) sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil – berita harian