TAIPING: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, di sini atas pertuduhan membunuh isterinya di sebuah rumah No 49, Batu Matang, Matang Road.

Tertuduh, Mohd Fadil Zainan, 41, dilihat mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap beliau.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dihadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Fadil didakwa atas niat menyebabkan kematian Noorwaheedah Abdul Wahid, 38, pada jam 8.30 malam di rumah mereka 11 Januari yang lepas.

Justeru, bagi perubatan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh yang memakai baju t-shirt berwarna biru gelap ketika hadir di dalam mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suspek pada mulanya dipercayai memukul isterinya, di rumah mereka di Matang disyaki kerana cemburu sehingga menyebabkan mangsa cedera pada 14 Januari lepas.

Pada jam 9.15 keesokan paginya, mangsa yang merupakan seorang surirumah didapati tidak sedarkan diri lalu dibawa ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Susulan itu, pemeriksaan doktor mengesyaki mangsa berusia 38 tahun mengalami kecederaan di kepada akibat dipukul menggunakan senjata tumpul sebelum disahkan meninggal dunia di hospital sama pada jam 9.30 malam berkenaan.

Empat anak pasangan yang berusia dalam lingkungan lima hingga 15 tahun kini berada di bawah jagaan saudara mara mangsa