MAHKAMAH Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi gempar apabila buruh yang selesai menjalani proses pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan terhadap bapanya, melarikan diri sebaik keluar dari kandang tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 21 tahun itu ditahan oleh beberapa anggota polis mahkamah dengan bantuan orang ramai serta anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebelum dia sempat keluar daripada pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu.

Dalam kejadian 10.20 pagi itu, Ghulam Hassan Ali yang baru selesai menjalani prosiding pertuduhan, secara tiba-tiba melarikan diri sebaik keluar daripada kandang tertuduh.

Susulan itu, prosiding mahkamah tergendala kira-kira lima minit kerana beberapa anggota polis mengejar suspek yang melarikan diri sejauh kira-kira 30 meter dari kamar mahkamah.

Dia kemudian berjaya dihalang dan ditahan berhampiran kantin, tidak jauh dari pagar mahkamah.

Terdahulu, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan kerana mencederakan bapanya, Alih Karama, 74, dalam kejadian di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya pada 11 malam, 7 Mei lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan iaitu Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan pisau terhadap bapanya dan 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bapanya.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Cindy Mc Juce Balitus sebelum memerintahkan tertuduh hadir ke mahkamah semula pada 20 Jun depan kerana belum menerima laporan perubatan sebelum hukuman ditetapkan – hmetro