KUALA KANGSAR: Seorang pengurus ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat di atas 15 pertuduhan memperdagangkan 15 individu bagi maksud eksploitasi buruh paksa sejak April 2016 hingga bulan lepas.

Tertuduh, L. Ganis, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Hidayah Mohd. Saad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdagangkan 15 individu termasuk dua remaja lelaki berusia lingkungan 13 hingga 66 tahun bagi maksud eksploitasi buruh paksa dengan ancaman dan kekerasan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ladang Koperasi Kelapa Sawit Sdn. Bhd., Daerah Kecil Kroh, Belukar Semang, Kampung Tasek Pengkalan Hulu antara April 2016 hingga 26 Februari tahun ini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 12, 13 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Di mahkamah sama, lelaki itu juga mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1960 kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap Wah Kee (Geng 04/18).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mempunyai tanda lambang duit syiling bertindih (Wah Kee) bertulis nombor 04 pada paha kaki kanan yang berhubung kait dengan pertubuhan kongsi gelap Wah Kee di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu pada pukul 4.45 petang, 15 Mac lalu.

Noor Hidayah menetapkan 27 Mac ini untuk sebutan semula kes ATIPSOM di Mahkamah Seksyen Kuala Kangsar bagi melantik jurubahasa dan keputusan sama ada tertuduh akan ditawarkan jaminan atau sebaliknya.

Bagi kes di bawah Akta Pertubuhan 1960 pula, Noor Hidayah menetapkan 18 April ini untuk serahan dokumen di Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu.