IPOH: Seorang buruh warga Bangladesh maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter di tapak projek pangsapuri di Klebang Restu, dekat sini, pada Isnin.

Mia Md Ripon, 34, yang baru dua bulan bekerja, dikatakan terjatuh ketika membuka acuan tangki kumbahan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ekoran daripada itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak melakukan pemeriksaan mengejut ke tapak projek pembinaan itu pada Selasa.

Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, dari siasatan awal, didapati mangsa memang jatuh dari tempat tinggi dan pihaknya akan buat siasatan lanjut.

“Jika kita dapati adanya pelanggaran dari segi peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Pekerjaan ataupun di bawah Akta Kilang dan Jentera, kita akan mengambil tindakan mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.

Beliau memberitahu, sebelum ini, pada 17 Januari lalu, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di tapak berkenaan.

Beliau menambah, daripada pemeriksaan iru, pihaknya mengeluarkan 52 notis kepada pemaju dan kontraktor iaitu 39 notis larangan dan 13 notis lagi notis pembaikan.

“Sehingga hari ini, notis belum dibatalkan dan kebetulan berlaku kemalangan hgga menyebabkan kematian.

“Keadaan tapak adalah kurang memuaskan, misalnya dari segi pemasangan perancah dan kita akan lihat dari aspek prosedur-prosedur lain,” ujarnya.

Katanya, buat masa ini operasi di tapak binaan itu dihentikan serta merta sehingga pihaknya mendapat penjelasan lanjut daripada kontraktor utama, khususnya mengenai notis-notis yang telah dikeluarkan.

Tapak projek itu dikatakan mula beroperasi awal tahun lalu dan kemalangan itu adalah yang pertama berlaku di tapak tersebut.