IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berpendapat, cabaran sebenar guru pada masa ini, adalah untuk melahirkan “global citizen” atau modal insan yang mampu untuk menghadapi cabaran dalam era globalisasi masa depan.

Sehubungan itu, beliau berharap para guru akan melihat peranan mereka sebagai sumber inspirasi dan role model kepada anak-anak didik.

Beliau mengakui bahawa peranan guru sebagai pendidik dalam abad ke-21 ini sememangnya begitu mencabar.

Menurut beliau, jika dahulu, ibubapa menghadiahkan rotan kepada guru sebagai tanda memberi kebenaran kepada pendidik untuk membentuk anak mereka.

Tetapi sekarang, kata beliau, guru-guru terdedah kepada kritikan apabila tindakan mendisiplinkan murid ditularkan oleh sebilangan ibubapa tanpa usul periksa.

Katanya, ia menjadikan tugas sebagai pendidik menjadi lebih rumit, lebih-lebih lagi apabila kita berdepan dengan golongan pelajar yang mempunyai masalah dari segi disiplin.

“Saya memahami kekangan ini, tetapi saya ingin mengajak para guru supaya melihat hikmah di sebalik ujian ini. Sesungguhnya, cabaran ini menjadikan guru lebih kreatif dalam mencari jalan penyelesaian kerana setiap pelajar adalah unik,” katanya ketika berucap merasmikan penutup Sambutan Hari Guru Sedunia 2018 di Hotel Excelsior di sini, malam ini.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Dr Nomee Ashikin Mohammad Radzi, Timbalan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Chan Thye Choon dan Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock.

Ahmad Faizal berkata, jika diimbas sejarah negara ini, peranan guru bukan sekadar sebagai pendidik.

Malah, ujarnya, mereka juga memainkan peranan yang sangat penting dalam penubuhan negara ini dan ramai yang terlibat dalam menentang penubuhan Malayan Union untuk menuntut kemerdekaan negara daripada pihak British.

“Ramai di kalangan tokoh-tokoh negara juga berasal daripada golongan pendidik. Mereka menjadi tulang belakang yang mewujudkan kesedaran masyarakat untuk bangkit menuntut kemerdekaan,” tambahnya.