IPOH: Datuk Bandar Ipoh termuda, Datuk Rumaizi Baharin berpendapat, cabaran utama beliau sebagai Datuk Bandar adalah cabaran dari dalam diri sama ada beliau benar-benar bersedia untuk menggalas jawatan itu.

Rumaizi, 45, berkata, beliau perlu memahami peranan sebenar Datuk Bandar, bukan sahaja yang tersurat tetapi termasuk juga peranan yang tersirat di samping memenuhi harapan rakyat yang mahu melihat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi sebuah kerajaan tempatan yang terbaik, sekurang-kurangnya dalam Malaysia.

“Jadi untuk mengubah ketiga-tiga persepsi itu, cabaran yang paling utama adalah cabaran diri saya sendiri, sama ada saya bersedia atau tidak.

“Jadi kalau tanya pada saya, caranya, saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemampuan diri saya dan kemampuan organisasi itu sendiri supaya dapat memenuhi persepsi dan kehendak rakyat,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan bantuan kotak makanan harian kepada pesara MBI.

Hadir sama, bekas Datuk Bandar Ipoh ketujuh, Datuk Mohamad Rafiai Mokhtar yang juga Presiden Persatuan Pesara MBI (Permai).

Rumaizi dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh ke 12, berkuatkuasa 1 April lalu. Beliau juga merupakan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak termuda ketika dilantik ke jawatan itu pada 2017, ketika berusia 42 tahun.

Menurutya, antara cabaran yang dihadapi sekarang ialah pandemic COVID-19 dan kegawatan ekonomi.

“Jadi dalam jangka pendek, apa yang saya lihat, bagaimana untuk menangani kedua-dua masalah ini dalam satu masa, menangani masalah wabak dan juga menangani masalah kegawatan.

“Kita akan cuba menggerakkan ataupun meransangkan balik aktiviti-aktiviti di Bandaraya Ipoh ini selaras dengan penyelesaian dua isu tadi,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata beliau, bagi jangka panjang, beliau mahu menjadikan Ipoh sebuah bandaraya yang mampan, di mana penduduknya merasa puas atau selesa dengan kehidupan.

“Kita bukan nak melihat pada bandaraya yang hanya mempunyai pendapatan tinggi tapi bandaraya yang ada keselesaan untuk rakyat ataupun penduduk yang tinggal di dalamnya,” katanya.