IPOH– Bagi julung-julung kali, Persatuan Perubatan Malaysia Perak (MMA) menganjurkan seminar Wanita Dalam Perubatan, khusus untuk membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh wanita menerusi kerjaya tersebut.

Seminar yang berlangsung di Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini dirasmikan oleh isteri Menteri Besar Perak, Dr. Nomee Ashilin Mohamed Radzi.

Yang turut sama, Pengerusi MMA, Dr. M. Kirubakaran dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ding Lay Ming, di samping kehadiran peserta yang terdiri dari pengamal perubatan serta wanita yang berkecimpung dalam bidang itu.

Dr. Nomee yang juga mempunyai kepakaran dalam Paediatric Cardiologist berkongsi pengalamannya sebelum bergelar sebagai pengamal perubatan, di samping memberi galakan kepada golongan wanita menerusi kerjaya tersebut.

“Semua tahu bahawa menceburi bidang perubatan, walau apa pun jawatan anda.. ia bukan kerja mudah, banyak cabaran yang perlu ditempuh termasuk waktu tidur yang kurang.

“Dorongan dan sokongan dari keluarga begitu penting, sama juga seperti saya dahulu, ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara, dengan bermacam pengalaman dan kisah merawat pesakit.

“Bagaimanapun, itulah keunikan yang ada bagi bidang perubatan… ka menguatkan anda, dari segi perasaan, emosi dan rohani. Secara tidak langsung mengajar anda untuk jadi pemimpin dan latihan untuk selalu bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar tersebut di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini pada Sabtu.

Seminar ini memfokuskan beberapa isu penting khusus dalam bidang perubatan seperti cara menangani tekanan di tempat kerja serta cabaran yang dihadapi wanita, yang disampaikan oleh ahli panel jemputan.