KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Cabutan WOW! 20 Tahun kepada semua pendeposit yang membuat pembukaan akaun atau penambahan simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional.

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelaksanaan tersebut merangkumi cabutan bulanan dan cabutan istimewa yang diadakan bersempena ulang tahun ke-20 penubuhan PTPTN.

“Selain itu, inisiatif ini juga sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada rakyat negara ini yang menyimpan dengan PTPTN,” katanya selepas Majlis Mesra Bersama Pelanggan dan Pelancaran Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Mengulas lanjut pelancaran tersebut, Shamsul berkata, PTPTN menawarkan lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 buat pendeposit bertuah.

Menurutnya, dengan tawaran hadiah menarik disediakan itu, pihaknya turut menyarankan masyarakat supaya rebut peluang tersebut dengan membuka akaun atau menambah simpanan di dalam SSPN-i dan SSPN-i Plus.

-Sinarharian