IPOH – Kerajaan Perak bercadang menubuhkan Kompleks Ruwaq Jawi, di Kampung Gajah sebagai pusat pengajian awal pelajar negara ini sebelum menyambung pengajian ke Mesir.

Exco Kerajaan Perak, Asmuni Awi berkata, kompleks itu akan dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh individu di atas nama Majlis Agama Islam Perak (Maipk).

“Kerajaan negeri bersedia membantu untuk menjayakannya dengan kemudahan-kemudahan tertentu selain mendaftarkan penubuhan Yayasan Ruwaq Jawi.

“Para pelajar akan diberikan ilmu asas terlebih dahulu terutamanya kemahiran bahasa Arab bagi memastikan mereka mudah meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, semalam.

Asmuni memuat naik status berkenaan selepas mengadakan lawatan bersama delegasi Kerajaan Perak ke Pusat Pengajian Ruwaq Jawi di Kaherah, Mesir, baru-baru ini.

Menurut Asmuni lagi, Kompleks Ruwaq Jawi yang bakal dibina ini diyakini mampu meningkatkan kualiti pelajar seperti yang diharapkan oleh Kerajaan Perak dan pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah.

“Kita juga mencadangkan agar pihak Ruwaq Jawi bekerjasama dengan semua kerajaan negeri oleh kerana pusat pengajian ini akan melibatkan pelajar dalam negara,” katanya.

Sementara itu, mengulas lebih lanjut mengenai pertemuannya dengan pengurusan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi di Kaherah, Asmuni berkata, kedua-dua pihak berbincang lebih terperinci mengenai peranan kepada pelajar negeri ini untuk meningkatkan kualiti dan ilmu mereka selain kelas harian di universiti.

“Ruwaq Jawi ini berperanan menghimpunkan pelajar Malaysia termasuklah pelajar Perak yang belajar di Mesir dengan menganjurkan majlis pengajian kitab-kitab Turath (tradisional) dan sebagainya bersama tenaga pengajar dan ulamak khususnya dari Al-Azhar dan Al-Syarif.

“Mereka menawarkan proses pengambilan pelajar dengan dua sistem pembelajaran iaitu Madrasah Ruwaq Jawi di mana ia adalah kelas khusus selama empat tahun yang diikuti oleh para pelajar terpilih dari seluruh negeri di Malaysia.

“Manakala Kelas Umumi Ruwaq Jawi adalah pengajian yang terbuka kepada seluruh para pelajar Malaysia yang berada di Mesir,” katanya – sinar