Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Dalam usaha kerajaan menyediakan Bajet 2018 yang holistik dan berkesan, orang ramai diajak mengambil bahagian dalam penyediaannya dan mengemukakan cadangan masing-masing.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong berkata, cadangan-cadangan berkenaan boleh dihantarkan terus melalui portal khas di https://bajet2018.najibrazak.com.

“Orang ramai perlu mengambil peluang ini dan hantarkan cadangan atau pandangan mereka sendiri.

“Terdahulu kementerian (Kementerian Kewangan) telahpun mengumpul cadangan dan maklumbalas dari kumpulan sasar termasuk pakar-pakar industri, jabatan-jabatan dan agensi-agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan program Tanggungjawab Sosial Korporat Khazanah-IHHH Healthcare bersama Datuk Lee Chee Leong di sini pada Selasa.

Dalam laman portal berkenaan orang ramai boleh menghantarkan pelbagai cadangan yang merangkumi 14 bahagian.

Ia terdiri daripada kos sara hidup, perumahan dan kehidupan bandar, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan desa, pendidikan, keselamatan awam dan ketelusan.

Selain itu, ia turut merangkumi aspek belia dan sukan, kebajikan sosial, alam sekitar dan pertanian, pekerjaan, pencukaian, perniagaan dan kewangan, budaya dan pelancongan dan ekonomi digital.

Najib dijadual akan membentangkan bajet 2018 pada 27 Oktober ini.