IPOH: Kerajaan dicadang memperkenalkan sepenuhnya hotel-hotel yang patuh syariah secara rasmi mulai awal tahun 2017.

Radzi Zainon (PAS – Sungai Rapat) yang membuat cadangan itu berkata, ia kerana wujud kebimbangan apabila ada hotel-hotel yang ditarik semua sijil halal kerana melanggar syarat yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut beliau, hotel patuh syariah itu perlu diperkasakan bagi membolehkan pengunjung, terutama yang beragama Islam, dapat menginap dalam suasana lebih selamat dan selesa, tanpa sebarang keraguan .

“Saya berpendapat hotel-hotel yang telah ditarik balik sijil halal mereka boleh menggugat kepercayaan orang ramai, terutama pelancong yang beragama Islam,” katanya semasa membahaskan Bajet Perak 2017 dalam sidang Dewan Negeri pada Rabu.

Radzi juga mencadangkan agar pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mengambil manfaat Tahun Melawat Perak 2017 dengan memperkenalkan industri pelancongan halal yang menepati aspek syariah sepenuhnya.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga harus menyediakan prasarana yang bersepadu untuk industri pelancongan halal tersebut,” ujarnya.