IPOH: Kerajaan negeri sedang mengkaji cadangan untuk memperbanyakkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan `hotspot’ sekitar Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ia berikutan pelaksanaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya mengurangkan kadar jenayah di beberapa kawasan.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang melihat beberapa kawasan hotspot baharu bagi pemasangan CCTV berkenaan yang dihubungkan terus ke balai polis berdekatan bagi memastikan sebarang kegiatan melanggar undang-undang dapat dipantau.

“CCTV ini lazimnya dipasang dan terus dihubungkan kepada balai-balai polis terdekat supaya kegiatan-kegiatan ini dapat dipantau.

“Namun lokasi-lokasinya adalah rahsia kerana kalau orang tahu mereka dilihat tentunya agar sukar untuk kita pantau kegiatan ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan daripada Salbiah Mohamed (Temengor-BN) di Sidang DUN pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, pencegahan jenayah bukan sahaja terletak di bahu polis semata-mata malah ahli politik juga perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Jenayah merentasi politik kerana ia juga menjadi tanggunjawab kita, jangan kita melindungi mana-mana penjenayah atau sebarang kegiatan yang diragui,” tambah beliau.