SERI MANJUNG – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) berhasrat menempatkan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di agensi berkenaan.

Yang Dipertua MPM, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, cadangan berkenaan sudah mula diatur sejak 2016 dalam memperkasakan integriti kakitangan serta Ahli Majlis MPM.

“Kita ada merancang letakkan pegawai SPRM untuk mendidik, perbetulkan serta perkemaskan urusan dokumen berkaitan agensi sekali gus mengukuhkan lagi integriti kakitangan dan ahli majlis MPM.

“Ini kerana apabila seorang pegawai SPRM ditempatkan di agensi, kita dapat mengelak persepsi dan tohmahan negatif rakyat kepada pihak berkuasa tempatan melibatkan gejala rasuah,” katanya selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Mesyuarat Penuh Bilangan 7, Tahun 2018, MPM di Dewan Kaunselor MPM, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Mohamad Fariz, permohonan untuk menempatkan seorang pegawai SPRM mempunyai prosedur yang perlu diikuti dan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan, MPM telah mewujudkan pelan memperkasa integriti kalangan kakitangan dan ahli majlisnya.

“Selepas bertemu dan berbincang dengan pihak SPRM sejak 2016, MPM telah mengambil satu inisiatif dengan mewujudkan Pelan Integriti MPM 2017-2021 yang turut melibatkan ahli majlis di bawahnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Perak, Ahmad Shukri Mohd Taib berkata, pihaknya menyambut baik hasrat MPM memohon penempatan seorang pegawai SPRM di agensi tersebut.

“Bagi saya cadangan ini cukup besar impaknya dalam memperkasakan integriti kalangan kakitangan dan ahli majlis MPM tetapi terdapat sedikit kekangan dari segi jumlah anggota.

“Pegawai SPRM tidak ramai, ada sekitar 2,500 orang sahaja seluruh negara dan SPRM hanya menempatkan pegawai-pegawai di agensi dan jabatan berisiko tinggi seperti Jabatan Imigresen,” katanya.

Tambahnya lagi, buat masa ini, setiap PBT mempunyai pegawai undang-undang yang berkerja rapat dengan SPRM melibatkan soal integriti dan rasuah.

Mengulas lanjut mengenai IBR, Mohamad Fariz berkata, seramai 25 ahli majlis MPM termasuk dirinya menandatangani ikrar IBR dan melafazkannya pada majlis itu.

“Saya berharap semua ahli majlis ini dapat bersama-sama MPM membudayakan integriti secara menyeluruh dan mengelak sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan imej baik agensi dikalangan masyarakat,” katanya – sinar