IPOH: Kerajaan negeri dicadang meningkatkan kadar bantuan yang diberikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk golongan-golongan memerlukan.

Chang Lih Kang (PKR – Teja) berkata, ini kerana mengikut laporan audit negara yang dikeluarkan baru-baru ini Perak merupakan antara negeri yang terendah menawarkan bantuan itu dari segi amaun.

“Minimum amaun yang diberikan ialah RM150 manakala maksimum ialah RM250 tetapi di Kedah maksimum adalah RM350, di Terengganu pula RM450 jadi saya ingin cadangkan kerajaan negeri tingkatkan kadar bantuan ini,” katanya ketika perbahasan titah Sultan Perak semasa Sidang DUN Perak di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kerajaan negeri mempercepatkan proses pemohon yang memohon bantuan berkenaan.

“Saya dapat tahu, bantuan ini lazimnya proses sama ada diluluskan atau ditolak itu mengambil masa yang agak panjang.

“Kalau ikut piagam pelanggan JKM, sepatutnya permohonan itu diproses dalam masa satu bulan, tetapi di Kinta sahaja hampir 44 peratus permohonan lewat daripada 30 hari,” dakwanya.