IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak bercadang untuk menubuhkan Alumni Amanjaya Internship tahun depan sebagai usaha untuk terus merapatkan hubungan semua pelatih program tersebut.

Setiausaha BN Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2013, sehingga kini terdapat kira-kira 150 pelatih yang telah mengikuti program itu.

Menurut beliau, sambutan terhadap program itu sangat menggalakkan dan meningkat dari tahun ke tahun, sekaligus membuktikan bahawa ramai anak muda masih mahu terus bersama-sama BN.

“Kita bercadang untuk menubuhkan alumni dan libatkan bekas-bekas pelatih di dalam program-program yang sesuai,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini pada Rabu.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Pemuda BN Perak, Khairul Shahril Mohamed, Setiausaha Pemuda BN Perak, Muhamad Iqbal Jamal Jamaluddin dan Pengarah program, Al Yashir Yahaya.

3e41adcb-c591-45a5-937e-b863e2185dae

Amanjaya Internship merupakan sebuah program perkaderan politik di bawah Pemuda BN Perak yang dikelolakan oleh BN Youth Volunteers (BNYV) dengan sokongan penuh kerajaan negeri.

Mereka akan ditempatkan di pejabat-pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN, sebagai pendedahan dan menarik minat golongan muda mendekati sistem politik negeri ini.

Antara kriteria pemilihan ialah pemohon lahir dan menetap di Perak, mahasiswa institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, boleh berkomunikasi secara efektif, aktif dalam ko-kurikulum, menyokong penuh aspirasi kerajaan negeri dan berumur bawah 30 tahun.

Pada sidang media itu, Shalimin mengumumkan bahawa permohonan untuk menyertai Amanjaya Internship V dibuka mulai hari ini hingga 25 November ini dan pemohon boleh menghantar resume mereka di dalam tempoh tersebut.

Mereka yang berminat boleh menghantar resume mereka kepada alamat email:- application@amanjayainternship.com dan untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web www.amanjayainternship.com atau facebook: amanjaya internship.

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi Sekretariat Amanjaya Internship di talian 018-3807950 (Cik Wahida).