BAGAN SERAI – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disarankan mewujudkan segera kolej tingkatan enam bertaraf mod 1 di daerah Kerian bagi memastikan pembangunan modal insan lebih baik dapat dijana.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, setakat ini, terdapat dua buah pusat pembelajaran disediakan bagi sekurang-kurangnya 300 pelajar tingkatan enam berstatus mod 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Alang Iskandar, di sini dan SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar.

Bagaimanapun, Dr Noor Azmi menegaskan tahap kemudahan dan kelengkapan disediakan kepada pelajar tingkatan enam di dua sekolah itu masih tidak mencukupi dan terpaksa berkongsi bangunan pengajian dengan sekolah aliran perdana.

“Saya difahamkan ketika ini hanya terdapat sepuluh kolej tingkatan enam mod 1 atau kolej khas untuk pelajar tingkatan enam diwujudkan di Malaysia.
“Kerajaan Malaysia kini sedang merancang hendak mewujudkan keseluruhan 44 buah kolej tingkatan enam mod 1 di seluruh negara.

“Justeru, saya berharap daerah Kerian akan terpilih sebagai salah satu tempat pembinaan kolej tingkatan enam memandangkan kita masih lagi berstatus mod 2 dan berkongsi bangunan pengajian dengan sekolah aliran perdana,”katanya sewaktu menyampaikan sumbangan 5,000 kotak kurma kepada pengunjung Bazar Ramadan Pusat Bandar Bagan Serai semalam.

-Sinar Harian