IPOH: Cadangan pemakaian baju khas oleh golongan pekak yang menunggang motosikal di Perak untuk keselamatan mereka menimbulkan persepsi dan pandangan daripada pelbagai pihak.

Reaksi itu hasil tinjauan Suara Perak terhadap beberapa pihak, baik orang awam atau mereka yang pernah terlibat secara langsung dalam penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagi Wynn, seorang guru pendidikan khas swasta,  cadangan itu tidak rasional kerana ia boleh dielakkan dengan memberi pendidikan dan kesedaran di kalangan masyarakat yang sempurna dan normal.

“Kita yang normal ini kena hormat dengan OKU, ini tidak, sedangkan tempat letak kereta pun kita kebas, apatah lagi kalau berurusan di bank dan menggunakan kenderaan awam, kemudahan yang kita berikan itu cukup terhad dan tidak mesra OKU, bagi saya kemudahan sebegini perlu dibaiki dahulu.

“Malah, ramai di antara kita masih tidak mempunyai timbang rasa atau budaya membantu OKU, contohnya ketika mereka hendak menolak kerusi roda menaiki tempat tinggi dan ketika berada di pasaraya, kita bukan nak bagi laluan malah kita geram sekiranya mereka bergerak perlahan,” katanya.

Selain itu, bagi seorang penjawat awam yang tidak ingin dikenali, dia merasakan bahawa pemakaian baju itu seolah-olah satu kosmetik tambahan bagi golongan pekak tetapi masalah sebenar terletak pada prasarana untuk anak-anak syurga itu.

“Ada betulnya cadangan Datuk Zainol untuk memperbaiki kawasan longkang dan laluan pejalan kaki di pekan, kerana ianya akan memudahkan golongan buta.

“Tapi kalau nak buat baju, saya rasa tak perlu kerana saya sudah terlibat dalam pengurusan OKU sekian lama, jadi perkara pertama yang perlu dilihat adalah penaiktarafan kemudahan OKU, atau cadangan lain adalah pemakaian pelekat kenderaan (sticker) OKU di helmet penunggang motosikal yang pekak, lebih elok,” katanya lagi.

Nur Salfarina (bukan nama sebenar), pula beranggapan bahawa kemudahan pakaian khas itu akan dapat membantu dirinya daripada terus memarahi penunggang motosikal pekak.

“Kadangkala motosikal akan memasuki laluan utama tanpa mereka sedari, jadi bunyi hon itu dihidupkan untuk memberi amaran kepada mereka.

“Malangnya, apabila golongan pekak tidak memberikan respon, ada yang memarahi dan tidak memperdulikan keselamatan mereka.

“Dengan adanya pakaian dengan tertera “saya cacat pendengaran”, pengguna jalan raya lain akan dapat bertimbang rasa dan memberi jalan kepada golongan OKU Pekak secara lebih mudah,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perlindungan Pengguna Negeri Perak, Shaferi Khairuddin berkata, penggunaan pakaian khas bagi pemandu motor OKU yang pekak dilihat sebagai tidak praktikal dan sesuai.

“Jika kita fikirkan secara teliti, pakaian itu harus diganti dan ada masanya tidak dipakai, justeru adalah lebih baik  pelekat OKU di helmet,” ujar beliau.