IPOH – Kerajaan negeri sedang memperhalusi rancangan memindahkan pusat pentadbirannya yang ketika ini berpusat di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kepada Bandar Meru Raya, di sini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, ia bagi memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan dengan lebih efisyen dan efektif oleh kesemua agensi kerajaan serta kerajaan negeri yang berpusat di Bandar Meru Raya.

“Ini kerana kawasan itu terdapat banyak jabatan dan agensi persekutuan yang telah beroperasi, ia akan memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan tidak kira agensi itu persekutuan atau negeri kerana ia berhampiran.

“Tetapi cadangan ini perlu diperhalusi secara holistik untuk dilaksanakan, keperluan sosial, ekonomi serta pengangkutan awam perlu diambil kira sepenuhnya sebelum apa-apa tindakan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Dr muhd Fadhil Nuruddin (Kamunting – Amanah) pada sesi soalan lisan pada persidangan hari kedua mesyuarat kedua, penggal pertama Dewan Neger yang ke-14 Perak di sini.

Tambah Ahmad Faizal yang juga wakil rakyat Chenderiang, rancangan pemindahan itu juga termasuk kediaman rasmi Menteri Besar, exco-exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

“Ketika ini kediaman rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri telah dijadikan kediaman rasmi Menteri Besar manakala kediaman rasmi Menteri Besar dahulu masih digunakan untuk majlis rasmi kerajaan negeri memandangkan fasiliti kediaman itu masih baik serta kawasannya yang lapang.

“Namun ia tidak lagi sesuai untuk dijadikan kediaman rasmi Menteri Besar setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kepesatan pembangunan komersial di kawasan berhampiran.

“Kerajaan negeri telah mempunyai perancangan untuk membangunkan semula tapak kediaman itu dengan cadangan pembangunan yang lebih strategik dan menguntungkan selari dengan pembangunan sekitarnya,” ujar beliau.