Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihatkan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk tidak mengambil mudah saranan beliau dalam menangguhkan keputusan mengenakan caj parkir di stesen keretapi.

Tegasnya, beliau diberitahu bahawa RAC mengambil maklum perkara itu namun tindakan mereka menangguhkannya untuk tempoh yang amat singkat dilihat seolah-olah mempermainkan saranan pihak kerajaan negeri.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada RAC kerana mengambil langkah untuk menangguhkan (caj parkir) tetapi kalaulah ianya sampai 15 haribulan, saya rasa ia bukan tangguh, hanya nak bagi muka sekejap sahaja.

“Saya bukan bercakap tentang saya, saya bercakap tentang keluhan rakyat, jadi ambil perhatian mengenai pemilihan tempat tertentu untuk keputusan ini, tak perlulah kita menyusahkan rakyat yang nak menggunakan keretapi, tempat letak kereta dan pergi ke tempat kerja,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Land Development Scenario: Issues and Challenges anjuran UiTM & Lembaga Perumahan Hartanah Negeri Perak sempena Perak Festival of Ideas di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Kata Dr Zambry, semua syarikat milik kerajaan (GLC) sewajarnya mengadakan rundingan dan meminta pandangan baik wakil rakyat atau pihak kerajaan negeri mengenai keputusan yang memberikan impak terutamanya terhadap perbelanjaan rakyat.

Tambah beliau, RAC perlu melaksanakan kajian mendalam dan mencadangkan mengenai keuntungan sebenar yang boleh dikaut melalui keputusan mengenakan caj parkir berbayar itu.

“Saya pun tak tahu berapa banyak mereka boleh buat untung, berjuta-juta ke, saya tak tahu kecuali mereka nyatakan kepada pihak kerajaan negeri. Ini macam main-main dengan saya, mereka ambil maklum, tangguh sampai 15 haribulan  maknanya dia nak buat juga.

“Perkara ini mungkin dianggap kecil tetapi tak semestinya kecil bagi rakyat. Berilah perhatian kerana akhirnya orang akan menyalahkan kerajaan, seolah-olah kerajaan tidak prihatin langsung benda macam ini,” ujarnya lagi.

Menteri Besar menegaskan, beliau enggan berkonfrontasi dengan RAC tetapi rakyat akan dapat menilai dengan baik tindakan mereka untuk mengenakan caj parkir di stesen keretapi di seluruh negeri kelak.

“Kerajaan telah mewujudkan satu aliran transit yang baik, pengangkutan awam yang baik, jadi bila nak letak caj parkir, dia kena fikirkan kesesuaian lokasi itu, malah sebelum ini ada juga tempat yang tidak memerlukan caj. Jadi ambil perhatian, itu nasihat saya,” katanya lagi.
Semalam, Dr Zambry meminta RAC menangguhkan sementara keputusan untuk mengenakan caj parkir di stesen-stesen keretapi di negeri ini.

Beliau membuat saranan itu setelah menerima makluman bahawa stesen keretapi Tanjung Malim akan mengenakan caj parkir mulai Khamis (hari Ini).