JOHOR BAHRU: Calon Bebas kerusi Parlimen Pulai, Yap Keng Tak cedera selepas dilanggar kereta dalam kejadian di Jalan Indah 5/13, Taman Bukit Indah di sini pada Ahad malam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad berkata kejadian berlaku kira-kira 8.45 malam ketika Yap, 59, sedang berjalan melintas simpang ke Kuil Sri Maha Mariyaman Bukit Indah untuk mengedar risalah kempen bersama lima pengikutnya.

“Keadaan mangsa (Yap) setakat ini tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Isnin.

Noor Hashim berkata tempat kejadian merupakan simpang tiga dan berlampu jalan, namun Yap tidak memakai baju pantulan cahaya serta tidak menggunakan laluan pejalan kaki.

Katanya pemandu kereta jenis Perodua Myvi berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 61 tahun dan beralamat di Taman Cempaka, di sini tidak cedera.

Lelaki terbabit membuat laporan polis berhubung kemalangan itu pada 12.25 tengah malam Ahad di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, katanya.

Sementara itu, Yap ketika dihubungi Bernama berkata dia hanya mengalami rasa sakit pada bahagian belakang badan.

“Saya kini menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta di sini dan dijangka dibenarkan keluar hospital petang ini,” katanya.

Katanya beliau akan berehat daripada berkempen sekurang-kurangnya selama tiga hari.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini, kerusi Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan empat penjuru antara penyandang Datuk Nur Jazlan Mohamed (Barisan Nasional), Salahuddin Ayub (PKR-Amanah), Dr Mohd Mazri Yahya (PAS) dan Yap – mstar