KAMPAR – Isu projek Hospital Kampar yang tertangguh hampir sejak PRU-12 akan direalisasikan Barisan Nasional selepas memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Calon Parlimen Kampar, Datuk Lee Chee Leong memberi jaminan projek itu merupakan antara fokus utama beliau sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Bagi membuktikan ia bukan janji kosong, Chee Leong berkata projek hospital Kampar telah disenaraikan sebagai antara Aku Janji dalam manifesto BN bagi penduduk Kampar yang telah lama mengidamkan hospital baru di daerah itu.

“Semasa saya menjadi ahli Parlimen Kampar pada 2008 hingga 2012, saya merancang untuk membina hospital kerajaan baru di sini dan Kementerian Kesihatan telah meluluskan projek tersebut pada 2012 di atas tapak seluas 40 hektar di Bandar Baru Kampar.

“Hospital yang sedia ada sudah lama. Sekiranya hospital di sini penuh pesakit nak dapatkan rawatan di Hospital Ipoh jaraknya agak jauh dari sini. Jadi kita faham akan keperluan penduduk Kampar kemudahan ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai pengumuman manifesto BN Kampar bertemakan Teguh Bersama, Sehati Sejiwa di sini hari ini.

Hadir sama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji Daniel Wa Wai How dan calon DUN Malim Nawar Chang Gwo Chyang.

BN Kampar menggariskan tujuh teras utama dalam manifestonya iaitu ekonomi; belia; wanita; warga emas; kemasyarakatan; meningkatkan kehidupan warga kampar; pendidikan.

Antara kandungan dalam tujuh teras tersebut ialah meneruskan pembangunan kampung baru, kampung tradisional Melayu, perkampungan kaum India, Sikh dan orang Asli serta melaksanakan transformasi urbanisasi; memastikan kekayaan sumber asli digunakan sebaiknya bersama rakyat bagi menggalakkan kemakmuran ekonomi, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

Selain itu, meneruskan usaha pembukaan susur keluar Kampar di Lebuhraya Utara Selatan bagi memudahkan dan memanfaatkan penduduk Kampar serta merangsang industri pelancongan bagi memacu ekonomi perindustrian dan komersial; menyediakan rumah mampu milik bagi membolehkan golongan muda merealisasikan impian mereka memiliki ‘Rumah Impianku’,

Mengulas lanjut, Lee yang juga Naib Presiden MCA berkata segala aku janji yang terkandung dalam manifesto itu bukan janji-janji manis BN tetapi ia akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini demi kepentingan penduduk di sini.

Justeru, Lee meminta agar pengundi di Kampar terus memberi sokongan kepada calon-calon BN agar pembangunan di kawasan itu dapat dilaksanakan dengan rancak demi kepentingan penduduk.

Pada PRU-12, Lee telah mengalahkan wakil dari DAP, Keong Meng Sing untuk kerusi Parlimen itu namun pada pilihan raya seterusnya kalah kepada Ko Chung Sen (DAP) dengan 5,400 undi.

BERITA BERKENAANKhairy Mahu Dakwa Rafizi